PRU15: Pusat tentukan kuota agihan kerusi di Kedah

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Kuota agihan kerusi di Kedah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diputuskan di peringkat kepimpinan Pusat Muafakat Nasional.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelbagai aspek diambil kira dalam pengagihan itu termasuk parti yang layak menduduki jawatan Menteri Besar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya akan menerima ketetapan peringkat Pusat dan menjadi tanggungjawab negeri untuk melaksanakan ketetapan yang diputuskan di peringkat tertinggi parti-parti komponen.

"Agihan kerusi akan ditentukan kepimpinan Pusat sebelum dimuktamadkan untuk negeri patuhi, kita ikut dan laksana. Peringkat negeri tidaklah hadapi kerumitan sangat. Sudah tentu kita akan cari formula yang sesuai untuk ‘lembutkan’ suasana agar rundingan harmoni,” katanya.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Politik Kedah: Dua ADUN sertai Bersatu

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program perhimpunan penjawat awam Persekutuan Negeri Kedah bersama Menteri Besar Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu’adzam Shah hari ini.

Iklan

Mengulas sama ada Pas Kedah bersedia mengorbankan beberapa kerusi dimenangi parti itu pada PRU14 lalu untuk ditandingi rakan komponen Muafakat Nasional Kedah, Muhammad Sanusi berkata, ia bakal diputuskan kepimpinan tertinggi parti.

"Pas diberikan kerusi Menteri Besar Kedah, itu pun aspek yang diambil kira dalam agihan kelak,” katanya.

Berdasarkan komposisi terkini, Muafakat Nasional Kedah dibarisi Pas dengan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diikuti dua daripada Barisan Nasional (BN).

Menerusi penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan itu, enam kerusi diwakili Bersatu, menjadikan keseluruhan adalah 23 kerusi.

Pembangkang iaitu Pakatan Harapan pula dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebanyak lima kerusi, Amanah (empat), DAP (dua) serta Pejuang (dua).

Pada 14 Ogos lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, lebih 50 peratus pengagihan kerusi membabitkan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15 telah selesai. Ia dilakukan secara berperingkat dan sebahagian negeri telah memulakan proses pengagihan.

Terbaharu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang sebelum ini bergelar ADUN Bebas selepas keluar daripada PKR mengumumkan menyertai Bersatu semalam. Mereka adalah ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee.

Kedua-dua Exco Kedah itu mengukuhkan kedudukan kerusi DUN diwakili Bersatu setelah ADUN jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan ADUN Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, perundingan agihan kerusi kelak akan lebih mudah apabila jumlah parti terlibat mengecil.

"Sebelum ini, kita berunding empat pihak, apabila mereka sertai Bersatu, sekarang jadi tiga pihak hanya Pas, UMNO dan Bersatu untuk kita agihkan kerusi,” katanya.

Mengulas sama ada wujud keperluan merombak barisan Exco sedia ada susulan kuota Exco Bersatu bertambah kepada lima berbanding Pas diwakili empat Exco dan seorang (BN), katanya, tiada keperluan berbuat demikian.

"Tak perlu rombak barisan Exco, saya tiada masalah boleh kerja dengan siapa pun. Buat masa sekarang, keadaan sangat baik, harmoni dan selesa,” katanya.