HAMPIR 10 tahun menyepi tanpa karya terbaru, kumpulan Ruffedge kembali mewarnai arena muzik tempatan dengan single terbaru berjudul ‘Seperti Mereka’ pada Ogos tahun lalu. Kini, arena muzik diwarnai dengan kehadiran video muzik rasmi ‘Seperti Mereka’.
Di zaman kegemilangan mereka, kumpulan yang dianggotai oleh Cat Farish, Azan, Zain, Mode, Sein dan Amir ini pernah popular menerusi lagu-lagu seperti Tipah Tertipu, Bila Rindu, Goyang, Khayalan, Da’ Bomb, Lemas dan banyak lagi.
Kumpulan yang mendukung genre R&B dan hip hop sejak awal kemunculan mereka pada tahun 1998 ini, tetap mengekalkan genre muzik yang sama dalam ‘Seperti Mereka’. Lagu yang mengangkat tema cinta ini diberikan sentuhan muzik R&B soul seperti lagu hit mereka terdahulu Bila Rindu. Single pertama Ruffedge selepas 10 tahun ini merupakan hasil ciptaan penuh anggota kumpulan itu sendiri iaitu Azan Addin.