PENYERANG muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin terus mempamerkan prestasi membanggakan apabila menjaringkan gol sulung dalam penampilan pertama bersama KV Kortrijk ketika menewaskan BX Brussels 2-1 dalam perlawanan persahabatan berlangsung di Belgium.
Ini merupakan gol kedua pemain bawah 19 tahun (B-19) negara selepas meledak gol pertama di bumi Eropah bersama skuad bawah 21 tahun (B-21) KV Kortrijk ketika pasukan itu tewas 1-4 kepada KRC Gent minggu lepas.
Iklan
Iklan
Luqman Hakim bagaimanapun tidak mahu berasa selesa sebaliknya bertekad untuk terus bekerja keras bagi memikat hati pengurus kelab Yves Vanderhaeghe.
"Ia sukar buat saya kerana ini pertama kali bermain di Eropah, dan setiap pemain berusaha gigih, bagaimanapun, ia bagus untuk saya. Saya boleh belajar dari mereka (untuk perbaiki permainan),” katanya dalam laman sosial KV Kortrijk.
Luqman Hakim berlepas ke Belgium bulan lepas setelah menandatangani kontrak lima tahun bersama KV Kortrijk yang dimiliki taikun perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan. - Bernama