Apa salahnya kelab malam, pub ditutup selama-lamanya
Apa sahaja kata-kata yang dilontarkan Perdana Menteri, ia tentunya akan menjadi perhatian. Tidak kiralah dengan nada serius atau sambil tersenyum.
Itulah apa yang berlaku ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Konvensyen Perikatan Nasional di Kuala Lumpur minggu lalu.
“Ekonomi negara kita sedang menunjukkan tanda-tanda pemulihan setelah hampir semua sektor ekonomi dibuka semula. Yang tak buka hanya kelab malam dan pub. Saya fikir kalau tak buka selama-lamanya pun bagus juga kot.”
Begitulah apa yang diungkapkan Perdana Menteri sehingga menerima tepukan daripada para hadirin.
Dengan kata lain, para hadirin amat setuju kelab malam dan pub agar ditutup buat selama-lamanya di negara kita.
Perniagaan utama kelab malam dan pub adalah menjual minuman keras yang boleh memabukkan si peminumnya. Selain itu, kegiatan maksiat juga kerap berlaku dalam kelab malam dan pub.
Oleh itu, sememangnya kerajaan mempunyai sebab munasabah untuk menutup terus perniagaan yang membawa unsur-unsur kemudaratan itu.
Namun, untuk membuat keputusan menghentikan perniagaan kelab malam dan pub, ia sebenarnya bukan mudah dilakukan kerajaan.
Salah satu sebabnya, hasil cukai daripada jualan minuman keras sebenarnya banyak diperoleh kerajaan.
Jika kelab malam dan pub diarah tutup selama-lamanya, apakah kerajaan sudah rasa tidak perlu bergantung lagi kepada hasil cukai minuman keras?
Sejak ia tidak dibenarkan beroperasi sejak Mac lalu susulan Covid-19, ramai pengusaha kelab malam dan pub sudah tidak bersedia untuk tunggu lebih lama.
Ada yang gulung tikar dan tidak kurang pula menceburi perniagaan lain.
Kita kena fikir seseorang pemimpin negara walaupun kata-katanya bersahaja, tetapi mesej yang disampaikannya membawa seribu pengertian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!