Jangan hangat-hangat tahi ayam
Lima juta pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air sejak Khamis minggu lalu disebabkan onar yang dibuat oleh pemilik kilang yang melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah, salah sebuah anak Sungai Selangor.
Bahan pelarut itu disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas.
Syukur kerana Lembaga Urus Air Selangor cepat bertindak menghentikan sementara bekalan air dan memulihkan semula air ke tahap yang selamat.
Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, perbuatan mencemari punca air ibarat percubaan meracun dan membunuh.
Katanya, undang-undang perlu dipinda bagi membolehkan hukuman yang lebih berat dikenakan ke atas pelaku.
Jelas sekali ramai yang marah dengan perbuatan itu kerana kesannya memang besar terhadap manusia jika tidak ditangani dengan lebih tegas.
Ada yang mengadakan demonstrasi di hadapan kilang itu di Rawang mendesak supaya kilang itu diroboh. Malah ramai warganet yang melepaskan kemarahan dalam media sosial akibat tindakan pencemaran itu.
Pelaku layak digelar ‘pengganas’ alam sekitar dan sewajarnya perlu dihukum dengan satu hukuman yang paling berat.
Namun, ketegasan itu perlulah berpanjangan dan bukannya hangat-hangat tahi ayam sahaja.
Biasanya apabila bekalan air sudah kembali pulih maka pihak berkuasa dan orang ramai tidak lagi peduli akan hal itu dan kes berulang semula.
Sewajarnya pemeriksaan perlu dilakukan setiap masa agar tindakan mencemarkan sumber air tidak lagi berlaku pada masa depan.
Penguat kuasa perlu sentiasa melakukan pemeriksaan di kawasan perindustrian supaya pemilik kilang mematuhi garis panduan ditetapkan.
Contohi bagaimana penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tegas dan pantas mengenakan kompaun terhadap pemilik kereta yang tidak membayar atau lambat membayar caj parkir.
Ketegasan seperti itu jika diaplikasikan dalam kes-kes berat seperti pencemaran alam sekitar sudah pasti akan menjadikan Malaysia lebih selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!