Warga emas maut, seorang parah nahas dua motosikal
SABAK BERNAM - Seorang warga emas maut manakala seorang lagi lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Bagan Nakhoda Omar (BNO) Parit Baru di sini semalam.
Kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu mengakibatkan mangsa lelaki berusia 67 tahun yang beralamat di Simpang Empat BNO meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dan penunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berusia 20 tahun masing-masing dari arah Sekendi menuju ke BNO.
"Sampai di tempat kejadian, disyaki kedua-dua motosikal bergesel antara satu sama lain menyebabkan kedua-dua penunggang terjatuh di atas jalan raya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Agus Salim berkata, kedua-dua mangsa yang cedera di bahagian kepala kemudian dikejarkan ke HTAJ Sabak Bernam untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun katanya, penunggang motosikal EX5 disahkan meninggal dunia pada jam 11.45 pagi semalam manakala penunggang Yamaha Lagenda dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!