Sudah sampai masa wujud institusi bantu urus hal perbandaran

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye menggesa ditubuhkan satu institusi dibiayai kerajaan bagi memenuhi tuntutan keperluan pengurusan bandar yang lebih baik, di samping keperluan latihan serta urus tadbir bandar dan kota, susulan proses pembandaran dalam negara yang berlangsung dengan cukup pesat ketika ini.

Beliau berkata, pembangunan dan pengurusan pusat-pusat bandar adalah antara cabaran utama, di samping menjadi salah satu daripada tanggungjawab yang cukup kompleks dalam realiti masyarakat hari ini.

“Cabaran utama dalam abad ke-21 adalah pembandaran, dengan proses pembandaran yang pesat ketika ini, kecenderungannya mengarah kepada pembangunan bandar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya baru-baru ini, Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata, terdapat kira-kira 150 pihak berkuasa tempatan dalam negara, namun tiada siapa yang tahu sejauh mana kukuhnya institut latihan pusat disediakan buatnya, khusus bagi memenuhi keperluan sumber tenaga kerja untuk keperluan fungsi-fungsi yang pelbagai dan pengurusan pembandaran.

“Kota-kota yang kita kenali hari ini sudah berubah dengan pantas. Persekitaran hidup kita sedang mengubah cara hidup kita. Era pembandaran ini menampilkan peluang yang unik bagi kita untuk membentuk semula bandar-bandar kita. Bagaimana kita rancang, melihat reka bentuk persekitaran kita, ini semua perkara yang penting perlu diambil kira,” katanya.

Lam Thye berkata, kemunculan punca masalah-masalah kota yang kompleks menampilkan cabaran-cabaran baharu bagi pentadbir kota untuk mencari cara baharu bagi menjadikan kawasan kota sebagai tempat yang lebih baik untuk didiami.

“Isu-isu kota seperti proses globalisasi, masalah-masalah alam sekitar, kemiskinan bandar, kemampanan bandar, urus tadbir dan bagaimana membaiki kualiti kehidupan kota adalah antara banyak isu yang perlu ditangani dengan efektif.

“Dengan isu-isu berkenaan yang muncul dari proses pembandaran, kini tiba masanya untuk kerajaan menubuhkan sebuah Institut bagi Urus Tadbir Kota, yang boleh berfungsi sebagai sumber nasional dan pusat latihan bagi pembangunan dan urus tadbir kota,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya institusi ini juga akan membantu dalam aktiviti-aktiviti penyelidikan, menyediakan sokongan buat ahli akademik dan individu untuk menjalankan penyelidikan di samping menyediakan khidmat pakar perunding berhubung isu-isu pengurusan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!