Djokovic tersingkir gara-gara salah sendiri
PILIHAN utama dari Serbia, Novak Djokovic dibatalkan penyertaannya dalam Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun ini apabila tidak sengaja memukul bola sehingga terkena leher penjaga garisan, lapor agensi Anadolu.
"Penyertaan juara Grand Slam 17 kali dan pilihan pertama Novak Djokovic dibatalkan pada pusingan ke-16 ketika menentang pilihan ke-20 Pablo Carreno Busta, kedudukan ketika itu 5-6 pada set pertama," memetik kenyataan penganjur Terbuka AS.
Insiden itu berlaku ketika Djokovic yang dilihat agak kecewa selepas ketinggalan kepada Busta, memukul bola ke belakang sehingga terkena penjaga garisan terbabit pada ketika dia memandang ke arah lain.
Akibatnya, penjaga garisan itu terjatuh yang kemudiannya menyaksikan dia seakan-akan sukar bernafas sehingga dibantu beberapa pegawai pertandingan.
Djokovic turut dilihat berlari ke arahnya dan beberapa minit kemudian penjaga garisan itu bangun dan berjalan meninggalkan gelanggang.
Selepas hampir 10 minit Djokovic berbincang dengan pengadil perlawanan, Soeren Friemel yang akhirnya mengumumkan Carreno Busta sebagai pemenang.
"Situasi ini membuatkan saya rasa sedih dan kosong. Saya amat bersimpati dengannya. Ia tidak disengajakan," tulis Djokovic dalam laman sosial laman Instagram peribadinya selepas insiden itu.
'Kekalahan' itu juga sekali gus menyaksikan Djokovic yang memenangi 17 gelaran Grand Slam termasuk tiga gelaran Terbuka AS pada 2011, 2015 dan 2018 gagal meneruskan rentak kemenangan dalam 27 perlawanan berturut-turut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!