Tiga hari kemuka dokumen pembinaan atau kilang dirobohkan
RAWANG – Pemilik kilang jentera berat yang disyaki menjadi punca pencemaran air di Sungai Gong perlu mengemukakan dokumen kebenaran pembinaan dalam tempoh tiga hari kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) atau berdepan tindakan perobohan.
Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, MPS mengeluarkan notis di bawah Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 terhadap kilang tersebut kerana mendirikan bangunan tanpa kebenaran.
Menurutnya, kilang tersebut juga pernah diberikan notis Mac lalu kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.
"Pemilik kilang tersebut tidak pernah memohon lesen malah selepas menerima notis Mac lalu, pemiliknya tidak tampil membuat permohonan lesen untuk meneruskan perniagaan secara sah.
"Status tanah kilang itu tiada masalah kerana milik persendirian dan untuk kegunaan industri tetapi beroperasi tanpa kebenaran," katanya ketika pemeriksaan kilang tanpa lesen sekitar Rawang hari ini.
Mengulas lanjut, kilang tersebut antara 308 perusahaan industri yang beroperasi tanpa kelulusan dan tersenarai dalam bancian proses pemutihan bagi kawasan MPS yang diperoleh dari tahun 2012.
"MPS akan memanggil kesemua pengusaha kilang berkenaan pada Jumaat ini untuk membuat proses pemutihan kerana kita mahu mereka menjalankan perniagaan mengikut undang-undang.
"Sebanyak 50 pengusaha daripada 308 kilang yang tiada kelulusan ini telah memohon lesen dan diluluskan. Tempoh pemutihan tamat pada 31 Disember ini sebelum penguatkuasaan lanjut di atas akta berkaitan dilakukan," katanya.
Mohamad Zin berkata, MPS akan mengeluarkan lesen selepas pengusaha terlibat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM).
"Pengusaha kilang ini boleh datang ke MPS dan kita boleh menjelaskan syarat-syarat lesen serta agensi berkaitan yang perlu mereka rujuk.
"Proses permohonan lesen ini sebenarnya mudah cuma pengusaha lebih gemar menggunakan khidmat orang tengah (konsultan) menyebabkan mereka tidak memahami prosesnya dan menganggapnya susah seterusnya beroperasi secara haram.
"MPS ingin membantu pengusaha industri yang menyumbang kepada sektor ekonomi beroperasi secara sah dan mengikut peraturan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!