Wakil tentera tertinggi Venezuela di AS 'belot'
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Wakil tertinggi tentera Venezuela ke Amerika Syarikat (AS) dilaporkan 'membelot' terhadap kerajaan Nicolas Maduro.
Kolonel Jose Luis Silva berkata, beliau kini mengiktiraf ketua pembangkang, Juan Guaido sebagai presiden.
Dalam rakaman video di kedutaan Venezuela di Washington, Silva menggesa agar pilihan raya telus diadakan dan meminta pasukan tentera mengiktiraf Guaido sebagai presiden yang sah.
"Pasukan tentera mempunyai peranan penting dalam mengembalikan demokrasi di negara kita, jadi tolonglah jangan serang rakyat kita sendiri," katanya.
Menurutnya, dua lagi pegawai konsulat Venezuela di AS turut menyatakan sokongan terhadap Guaido sebagai pemimpin.
Dalam pada itu, Guaido berterima kasih kepada Silva sambil menyeru agar lebih ramai menyokongnya, sementara itu, Kementerian Pertahanan menyifatkan perbuatan Silva sebagai satu pengkhianatan.
Rabu lalu, Guaido bertindak mengiktiraf dirinya sebagai pemangku presiden dan berjaya mendapat sokongan beberapa negara termasuk AS.
Sehubungan itu, Maduro yang dilantik sebagai presiden bagi penggal kedua pada awal bulan ini setelah memenangi pilihan raya negara berkenaan, menuduh seterunya itu cuba merampas kuasa.
Ribuan rakyat Venezuela yang dihimpit kemiskinan menyatakan bantahan terhadap Maduro, namun sehingga hari ini, beliau masih menerima sokongan daripada pasukan tentera. - BBC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!