UMNO Sabah nafi spekulasi pembahagian kerusi PRN Sabah
KOTA KINABALU - UMNO Sabah menafikan spekulasi kononnya parti itu berjaya memperoleh hampir 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya masih belum memuktamadkan jumlah sebenar pembahagian kerusi DUN yang bakal ditandingi oleh rakan dalam Perikatan Nasional (PN).
“Apa yang berlaku iaitu tular senarai kerusi yang diperoleh UMNO ini saya rasa cuma persepsi orang kerana kita belum membuat keputusan secara muktamad.
“Bagaimanapun kita akan pastikan rakan-rakan kita juga mendapat tempat untuk bertanding kerana banyak parti terlibat,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Jentera Parti Pergerakan Puteri UMNO Sabah di sini, hari ini.
Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan yakin akan memuktamadkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi bersama rakan PN sebelum pengumuman calon yang dijangka akan diadakan Rabu ini.
Ketika ini, PN diwakili oleh UMNO Sabah (Barisan Nasional), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Semalam, timbul dakwaan kononnya Barisan Nasional (BN) bakal bertanding di 30 kerusi DUN Sabah manakala Bersatu diperuntukkan sebanyak 20 buah kerusi DUN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!