Tetap setia meskipun kekasih kudung tangan

Pasangan pengantin, Azahari dan Mastura disatukan dalam majlis pernikahan yang diaadakan di Masjid Pengkalan Minyak, Ayer Molek, di sini, Jumaat lalu.
Pasangan pengantin, Azahari dan Mastura disatukan dalam majlis pernikahan yang diaadakan di Masjid Pengkalan Minyak, Ayer Molek, di sini, Jumaat lalu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang juruteknik di sebuah kilang di Ayer Keroh di sini bukan sahaja rasa bertuah malah bersyukur apabila tunangnya masih mahu meneruskan perhubungan walaupun sebelah tangan kanannya kudung.

Ujian dan kekurangan pada diri Azahari Senin, 30, itu dapat diterima tunang yang kini isterinya Mastura Zainon, 35, sehingga mereka akhirnya disatukan dalam majlis pernikahan di Masjid Pengkalan Minyak, Ayer Molek di sini, Jumaat lalu.

Azahari berkata, dia mengikat tali pertunangan pada Ogos tahun lalu, namun terpaksa berdepan dugaan berat dua bulan kemudiannya apabila dia ditimpa kemalangan di tempat kerja sehingga tangan kirinya hancur dan terpaksa di potong akibat tersepit dalam mesin percetakan.

“Saya pernah beritahu isteri yang ketika itu dalam pertunangan supaya dia tinggalkan saya selepas saya kemalangan yang hampir meragut dua belah tangan. Saya beritahu dia, aku tak boleh teruskan dengan kau lagi, dengan keadaan aku macam ini.

“Tapi sangkaan dia akan tinggalkan saya itu meleset apabila dia terus cekal menunggu saya di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka, menunggu saya di wad, walaupun saya hampir putus harapan,” katanya ditemui di sini.

No Image Caption

Azahari berkata, sejak itu dia menanam semangat positif menganggap kedua-dua tangannya masih normal seperti insan lain dan tidak mahu ada pihak yang memandang rendah apa lagi menganggapnya sebagai orang kurang upaya (OKU) yang kurang berkemampuan.

“Tangan kiri saya hancur teruk manakala tangan kanan pula sempat doktor selamatkan namun fungsinya kurang sempurna dan ketika majlis pernikahan berlangsung, saya masih berada dalam tempoh cuti sakit.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya, meskipun majlis pernikahan kami serba ringkas namun meriah dengan usikan ahli keluarga dan kawan-kawan,” katanya.

Sementara itu, Mastura yang juga seorang jurujual berkata, lelaki yang dikenalinya ketika bekerja di hotel kira-kira tiga tahun lalu itu diyakini mampu menyempurnakan kehidupannya.

“Saya kenal dia (Azahari) ketika dalam fizikal yang sempurna dan cinta saya masih sama walaupun dia kini kudung tangan kiri. Tak kan waktu sempurna saya nak bersama dia apabila tak sempurna saya tinggalkan.

“Semua ini ada hikmah dan saya berkeras mahu bersamanya ketika dia dan keluarganya minta pertunangan kami diputuskan. Ibu bapa dan adik beradik saya pula sentiasa menyokong saya,” katanya.

Menurutnya, dia tetap meneruskan majlis pernikahan tersebut meskipun disarankan ahli keluarga mentuanya untuk menangguhkan pernikahan mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!