Johor bakal terima pelaburan RM8 bilion dalam 10 tahun
JOHOR BAHRU - Johor bakal menerima pelaburan asing dalam bidang pembangunan hartanah melibatkan RM8 bilion dalam tempoh 10 tahun.
Majlis memeterai perjanjian pelaburan itu antara Majlis Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan Metallurgical Corporation of China Bhd (MCC) Singapura diadakan di Hotel Double Tree di sini hari ini.
Kerjasama antara IWH dan MCC Singapura itu melibatkan pembangunan komersial berskala besar di kawasan seluas kira-kira 60 hektar.
Fasa pertama projek yang akan bermula awal tahun depan itu melibatkan pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar RM2.88 bilion.
Hadir menyaksikan majlis perjanjian pelaburan itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang dan Naib Pengerusi Eksekutif IWH, Tan Sri Lim Kang Ho.
Hasni berkata, pelaburan tersebut signifikan kerana membuktikan Johor masih merupakan destinasi pelaburan berpotensi tinggi dan berharap projek berkenaan akan dapat merancakkan semula pembangunan ekonomi di Johor.
"Kita menghadapi banyak cabaran dan kerajaan negeri sedia membantu mana-mana pihak termasuk pemaju untuk melaksanakan pembangunan di negeri ini.
"Pelaburan seperti ini 'is a breath of fresh air'," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis memeterai perjanjian pembangunan hartanah tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MCC Singapura, Tan Zhiyong berkata, projek itu akan mewujudkan sebuah pusat bandar pintar yang dilengkapi dengan ciri-ciri canggih sekali gus menjadi pemangkin kepada transformasi bandaraya Johor Bahru yang lebih berteknologi maju.
"Kami optimis dengan projek ini kerana kedudukannya yang strategik dan jaraknya yang berdekatan dengan kawasan berkepadatan tinggi melibatkan penduduk dan perniagaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!