Liberal: Zulkifli nafi Majlis Agama Islam tidak ambil tindakan
KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menafikan dakwaan kononnya pihak berkuasa agama di negeri-negeri tidak mengambil sebarang tindakan berhubung penularan fahaman liberal di media sosial seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya maklum mengenai perkara itu secara umum dan pendekatan yang diambil pada kebiasaannya termasuk berbentuk nasihat dan perbincangan.
“Dalam hal ini sebenarnya kita ada dua tiga perkara, pertama sekali saya mesti dapatkan maklumat yang jelas dan tepat dalam isu ini...perkara ini bukan perkara yang kita tidak ambil tindakan, kadang-kadang mereka (Majlis Agama Islam) melaksanakannya dalam bentuk menasihati, berbincang dan seumpamanya.
“Kita telah ada (pendekatan dan tindakan) di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, sebagai contoh Pejabat Mufti dan kita juga ada dalam Fatwa Peringkat Kebangsaan atau muzakarah atau peringkat negeri termasuk Wilayah Persekutuan, kita sudah bersama-sama dalam mengemukakan isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas perkara itu selepas menziarahi dan menyampaikan keperluan tambahan kepada pelakon dan penyanyi veteren Mimi Loma di sini, hari ini.
Justeru, Zulkifli berkata pihaknya akan mengambil satu pendekatan yang cepat dan berhemah dalam menangani isu fahaman liberal itu.
“Insya-Allah kita akan tengok yang terbaik untuk kita selesaikan sebaik mungkin,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata keberkesanan Aplikasi Mobile Jejak Asnaf atau MoJA yang merupakan inisiatif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), boleh menjadi contoh dan dilaksanakan di negeri masing-masing.
“Sejak ia diperkenalkan (Jun), sebanyak 102 laporan diterima dan sebanyak 64 kes telah selesai. Saya ingat kalau boleh perkasakan saya sasar 100 hingga 200 kes sebulan dan dalam 70 hingga 80 peratus yang dapat kita ambil tindakan segera.
“Aplikasi ini untuk jejak golongan asnaf melalui laporan yang dibuat orang awam, kita boleh bentangkan dalam pertemuan dengan Exco kerajaan negeri dan pengarah majlis agama Islam negeri dan mungkin dari situ masing-masing akan ada inisiatif,” katanya.
Terdahulu, Zulkifli menyampaikan keperluan tambahan iaitu kecemasan tunai sebanyak RM1,000, bantuan perubatan am iaitu lampin pakai buang dan barang keperluan kepada Mimi Loma atau nama sebenarnya Aminah Ismail, 74.
Mimi Loma kini berada dalam keadaan uzur dan diuruskan sepenuhnya oleh anak tunggalnya Sherina Othman, 47, merupakan penerima bantuan kewangan bulanan MAIWP sebanyak RM400 sejak 2012, juga merupakan penerima bantuan sewa rumah bulanan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!