Dua ditahan, seorang bolos
KUALA LUMPUR - Dua suspek ditangkap, sementara seorang lagi berjaya meloloskan diri ketika rondaan cegah jenayah di Lebuhraya Besraya berhampiran Kampung Malaysia, Salak Selatan, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kesemua suspek yang menaiki sebuah Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan itu tidak memberhentikan kenderaan sewaktu diarah berbuat demikian dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi.
“Kereta dinaiki mereka diarahkan berhenti berhampiran susur ke Kuchai Lama tetapi pemandunya terus memecut. Kereta peronda terus mengejar kenderaan suspek dibantu sebuah lagi kereta peronda yang sedang meronda di kawasan lain.
"Kenderaan itu gagal dikawal dan terlibat kemalangan dan dua lelaki berusia 20 dan 46 tahun berjaya ditahan namun seorang lagi suspek melarikan diri dari dikejar kereta peronda,” katanya.
Menurutnya, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan dalam masa sama pemeriksaan nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek mendapati ia pernah dilaporkan hilang di kawasan Kajang.
“Pemeriksaan kereta juga dilakukan dan kita menemui beg galas mengandungi peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah pecah rumah selain sebilah parang panjang buatan sendiri dan satu pisau panjang.
“Semakan dibuat pula mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah namun mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam,” katanya.
Mohamed Mokhsein berkata, kes disiasat Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 bersama Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!