Cubaan curi balak bernilai RM90,000 gagal

Seorang kakitangan PHD Temerloh dan Bera memeriksa balak jenis meranti yang di tebang secara haram di Hutan Simpan Jengka. - Pix: Ihsan JPNP
Seorang kakitangan PHD Temerloh dan Bera memeriksa balak jenis meranti yang di tebang secara haram di Hutan Simpan Jengka. - Pix: Ihsan JPNP
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mematahkan cubaan mencuri 105 tual balak pelbagai spesies bernilai lebih RM90,000 di Hutan Simpan Jengka, Maran kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, kegiatan itu dikesan hasil pemeriksaan anggota unit penguatkuasaan Zon Timur dalam kawasan hutan seluas kira-kira lima hektar itu.

"Kita percaya kegiatan ini dilakukan oleh beberapa individu yang mahir dengan aktiviti penebangan pokok. Malah, mereka juga bijak kerana memindahkan hasil hutan itu menggunakan jalan tertentu di kawasan Felda Jengka.

"Mereka hanya menebang pokok terpilih sahaja dan kemungkinan akan kembali semula ke hutan ini bagi tujuan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Azirim berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Hutan Daerah Temerloh dan Bera bagi mengesan dalang yang terbabit dengan aktiviti.

Menurutnya, pihaknya akan mendakwa mereka yang terlibat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 kerana berada dalam hutan simpan tanpa permit dan menebang pokok tanpa kebenaran.

Sementara itu, Nor Azirim berkata, kegiatan mencuri balak kini semakin aktif disebabkan harga pasaran kayu kini semakin meningkat selain permintaannya yang bertambah.

Selain menumpukan kepada kayu bulat atau balak, katanya, individu terlibat turut menghasilkan kayu bergergaji belah dan memasarkan produk berkenaan membabit kilang papan tempatan dan luar Pahang.

Artikel Berkaitan:

"Kita mempunyai senarai kilang papan tempatan dan luar Pahang yang sebelum ini terbabit menerima balak curi menerusi beberapa siri serbuan sebelum ini yang membawa kepada tindakan undang-undang.

"Kita sentiasa memantau kilang papan terbabit bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!