Isteri curi barangan berharga di rumah sendiri

Kejadian seorang wanita sanggup menipu suami dan polis bahawa dia dirompak berlaku di New Delhi pada 30 Ogos lalu. - Foto AFP
Kejadian seorang wanita sanggup menipu suami dan polis bahawa dia dirompak berlaku di New Delhi pada 30 Ogos lalu. - Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - Kisah memecah masuk rumah untuk melarikan barangan yang berharga ketika pemiliknya sedang tidur atau tiada di dalam kediaman adalah kejadian jenayah yang berlaku di kebanyakan negara di dunia.

Tambah pelik lagi apabila seorang wanita yang sanggup menipu dengan berpura-pura kelihatan dirompak di kediamannya sendiri berlaku di New Delhi, India baru-baru ini.

Wanita itu yang juga seorang isteri dan berusia 28 tahun didakwa merompak wang tunai sebanyak Rs2.18 lakh (kira-kira RM12,369) dan barangan kemas dari rumahnya pada 30 Ogos lalu.

Bagi menjadikan rompakan itu seolah-olah benar-benar terjadi, dia sanggup mengikat tangan dan kakinya sendiri dan didakwa mencederakan diri sendiri di dahi dengan menggunakan penukul bagi memperdayakan suaminya yang berusia 65 tahun supaya mempercayai cerita rompakan tersebut.

Si suami kemudian menghubungi polis bagi membuat laporan tentang kejadian itu selepas melihat keadaan isterinya yang dikatakan baru dikahwininya sebulan lalu berdasarkan laporan akhbar The Indian Express pada 2 September lalu.

Semua anggota keluarga disoal siasat polis manakala televisyen litar tertutup (CCTV) di semua bilik di rumah itu juga diperiksa.

Bagi mencari perompak yang melakukan perbuatan tersebut, wanita itu juga tidak terkecuali daripada disoal siasat polis selepas dia dirawat di sebuah hospital kerana kecederaan dalam kejadian 'rompakan palsu' itu.

Akhirnya, pihak polis mendapati kenyataan daripada isteri itu bercanggah dan cerita rompakan tersebut sebenarnya telah direka-reka.

Artikel Berkaitan:

Menerusi soal siasat itu juga, pihak polis mengetahui bahawa dia sebenarnya telah berpakat dengan rakannya yang dikenali sebagai Jitender untuk melarikan wang dan barangan kemas itu.

Wang dan barangan kemas itu akhirnya ditemui polis tersimpan di rumah rakan wanita berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!