MPS buat pemeriksaan 15 kilang sekitar Sungai Gong

Pemeriksaan operasi kilang dijalankan MPS bersama JAS dan PDT Gombak sekitar Sungai Gong hari ini susulan pencemaran air yang berlaku Khamis lalu.
Pemeriksaan operasi kilang dijalankan MPS bersama JAS dan PDT Gombak sekitar Sungai Gong hari ini susulan pencemaran air yang berlaku Khamis lalu.
A
A
A

RAWANG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menjalankan pemeriksaan lesen ke atas 15 kilang yang beroperasi sekitar Sungai Gong hari ini.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, operasi bertujuan bagi memastikan operasi kilang dijalankan secara sah dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MPS serta agensi yang berkaitan.

Menurutnya, pemeriksaan secara bersepadu pada hari ini turut disertai wakil dari Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Hasil pemeriksaan, MPS telah mengeluarkan Notis Pematuhan Syarat Lesen Premis Perniagaan MPS 2020 ke atas lima kilang.

"Empat daripada kilang tersebut ditarik lesen kerana menjalankan aktiviti tambahan tanpa kebenaran sementara satu pejabat urusan perniagaan dikesan beroperasi tanpa lesen turut diambil tindakan," katanya yang turut serta dalam operasi tersebut.

Katanya, kesemua tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Industri (MPS) 2007.

Mohamad Zin berkata, dalam operasi sama, MPS telah mengeluarkan notis ke atas kilang penyelenggaraan jentera yang disyaki menjadi punca pencemaran air Khamis lalu atas kesalahan mendirikan bangunan tanpa kebenaran.

"Pihak syarikat berkenaan diberi tempoh tiga hari untuk mengemukakan dokumen berkaitan kepada MPS sebelum tindakan roboh dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak PDT Gombak juga telah menyerahkan Borang 7A (Notis Untuk Memulih Pelanggaran Syarat) atas kesalahan melanggar syarat guna tanah," katanya.

Beliau turut mengingatkan pengusaha untuk memohon lesen dan mematuhi syarat ditetapkan sebelum memulakan perniagaan.

"Pihak MPS akan lebih agresif dan membuat pemantauan berterusan termasuk mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada terhadap pihak yang gagal untuk berbuat demikian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!