Melestarikan gerakan dakwah

No Image Caption
A
A
A

ISLAM ialah agama dan cara hidup yang telah diwahyukan oleh ALLAH SWT untuk dianut oleh setiap umat manusia yang mahu melandasi kehidupan mereka pada paksi petunjuk yang benar.

Justeru, setiap Muslim bertanggungjawab menyebarluaskan Islam kepada setiap insan, bahkan ia adalah tugas para Anbiya’ ‘Alaihimussolaatu wassalam yang wajib dilangsungkan sepanjang zaman demi menyelamatkan umat manusia daripada ‘salah jalan’ yang akhirnya menjerumuskan mereka ke kancah mungkar dan maksiat.

Bagaimanapun, menyebarkan risalah suci itu (Islam) tidak boleh dilakukan secara sambal lewa tanpa perancangan yang strategik.

Gerakan dakwah bukan sahaja perlu diwujudkan, malah mestilah proaktif dan bersifat kontemporari supaya ia benar-benar menepati matlamat dan objektif dakwah Islamiyah itu sendiri.

ALLAH SWT menegaskan dalam Surah An Nahl ayat 126 yang bermaksud, “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan nasihat yang baik dan berbahaslah dengan mereka secara yang lebih baik.

“Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk.”Ayat itu menjadi asas paling minimum bagi operasi gerakan dakwah:

a. Ilmu dan kebijaksanaan (hikmah) dalam pendekatan dan kandungan penyampaian risalah Islam;

b. Peringatan (mauizah) yang baik dan nasihat yang benar;

Artikel Berkaitan:

c. Dialog atau diskusi secara ilmiah dan tenang dalam membawa hujah.

Gerakan dakwah bukan pasukan debat yang mencetus suasana ‘bertegang leher’ dalam membawa risalah Islam ini kepada masyarakat. Justeru, erti dakwah Islam adalah memenangi hati madu’u (orang yang diseru), bukan menang dalam pertengkaran.

Gerakan dakwah bukan medium untuk ‘meninggi diri’ dalam menyampaikan risalah Islam. Apatah lagi memperkecilkan madu’u dan meletakkannya seperti orang yang bodoh.

Justeru, erti dakwah Islam adalah memasukkan kesedaran dalam hati madu’u dengan penuh kasih dan hormat padanya.

Gerakan dakwah adalah sebuah operasi untuk menyampaikan Islam bukan memaksa. Ia memberi pencerahan mengenai Islam agar tidak disalahertikan oleh masyarakat apatah lagi terpengaruh dengan Islamophobia. Dakwah Islam adalah untuk membawa madu’u kembali kepada ALLAH SWT, bukan untuk kepentingan pengaruh dan sokongan peribadi atau kelompok.

Bimbingan

Gerakan dakwah juga perlu tenang mendepani cabaran, menyantun segenap lapisan masyarakat dengan penuh adab dan akhlak. Bersikap terbuka dan meraikan pandangan berbeza. Beri ilmu, tunjuk ajar dan bimbingan yang baik.

Gerakan dakwah selayaknya menjadi benteng yang kukuh dalam mempertahankan Islam dan maruah umatnya. Depani kesukaran berdakwah dengan sabar dan tabah. Jangan mudah mengalah sebaliknya cekal dan istiqamah mengharungi medan dakwah yang serba mencabar.

Lantaran itu, Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) melalui objektif penubuhannya sejak tahun 1974 iaitu ‘Menjadikan Dakwah Sebagai Program Nasional’ mengusahakan penyelarasan kegiatan badan-badan dakwah agar bergerak seiring tanpa sebarang konflik dan polemik yang merugikan kerja dakwah itu sendiri.

Mari kita hayati apa yang telah ditegaskan oleh ALLAH SWT dalam Surah Al Baqarah ayat 44 yang bermaksud, “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab ALLAH, tidakkah kamu berakal?” Jawabnya, tentu sahaja sangat tidak patut bagi gerakan dakwah berselisih dingin antara satu sama lain semata-mata kerana ingin mempertahankan pendekatan serta idealisme masing-masing, sedang mereka mempunyai noktah iaitu dakwah.

Yadim menyeru supaya gerakan dakwah dilestarikan dengan mengutamakan keberkesanan dakwah, penyatuan gerakan, perencanaan yang strategik dan ketulenan sumber dakwah.

* Nasrudin Hassan ialah yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Beliau akan menyumbang rencana untuk ruangan ini setiap bulan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!