Pemilik kilang enggan buka pintu pagar
RAWANG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mendakwa pengusaha kilang penyelenggaraan jentera yang disyaki menyebabkan pencemaran Sungai Gong di sini tidak memberikan kerjasama sewaktu pemantauan dijalankan penguat kuasa sebelum ini.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan, Norhayati Ahmad berkata, penguat kuasa dari zon Rawang gagal memasuki premis berkenaan selepas pemiliknya enggan membuka pintu pagar automatik sewaktu rondaan dilakukan sebanyak tiga kali sejak Jun.
"Keadaan itu menyukarkan MPS menyemak dokumen berkaitan. Dalam laporan gerak kerja kita buat catitan tidak mendapat kerjasama yang baik dari pemilik.
"Kita tak boleh pecah masuk premis. Kalau kita hon, dia (pemilik) tak buka pintu pagar, kita tak boleh masuk," katanya sewaktu mengetuai operasi pemeriksaan ke atas 15 kilang sekitar Sungai Gong hari ini.
Norhayati berkata, pemilik hanya membenarkan pemeriksaan dilakukan selepas timbulnya isu pencemaran baru-baru ini apabila MPS telah mengeluarkan kompaun di bawah Seksyen 3 kerana menjalankan perniagaan tanpa kelulusan.
"Selain kompaun RM1,000, MPS telah memberikan peringatan kepada pemilik untuk kemukakan surat kelulusan dan semua dokumen berkaitan selain mengarahkan operasinya dihentikan.
"Malah penguat kuasa turut melakukan rondaan setiap hari di kawasan berkenaan untuk memastikan kilang tersebut tidak beroperasi," katanya.
Beliau berkata, kilang sama pernah diberikan notis pada 2014 di bawah Jabatan Bangunan MPS kerana mendirikan struktur tanpa kebenaran.
Sinar Harian difahamkan perobohan tidak dilakukan ketika itu kerana tertakluk kepada dasar kerajaan negeri di bawah program pemutihan kilang haram sewaktu pentadbiran bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bermula 2012 yang tempohnya berakhir Disember ini.
Tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan sedia ada akan diteruskan selepas berakhir tempoh program berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!