Skandal tanah di Perak: PM perlu pandang serius
IPOH - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memandang serius laporan pemberian tanah dan pasir secara terpilih yang didakwa mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa di Perak.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, tindakan itu bertentangan dengan komitmen kerajaan yang mahu membanteras rasuah menerusi pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional.
"Walaupun Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan beliau bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM, namun Muhyiddin harus mengambil perkara ini dengan lebih serius.
"Sebelum ini kerajaan Perikatan Nasional pernah menyebut akan meneruskan komitmen kepada usaha membanteras rasuah menerusi pelan tersebut," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya di sini.
Menurutnya, adalah menjadi harapan rakyat agar siasatan telus dapat dijalankan.
"Dulu saya sering menegur Ahmad Faizal berkenaan beberapa projek rundingan terus oleh pentadbiran beliau sewaktu zaman kerajaan Pakatan Harapan memerintah lagi.
"Beliau perlu sedar sebagai Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) harus memperlihatkan kredibiliti dan integriti jika ingin memimpin," katanya.
Sementara itu, Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menyambut baik komitmen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap isu itu.
Pengarah Komunikasinya, Azhar Rahman berkata, pihaknya akan mengikuti rapat perkembangan kes itu dan mengharapkan siasatan segera dilakukan dengan secara telus.
"Nama individu dan syarikat yang terkandung dalam dokumen yang tular itu harus disiasat segera kerana kedudukan mereka yang dikatakan mempunyai akses kepada maklumat dan hal ehwal tanah kerajaan.
"Selain itu, Ahmad Faizal harus bertanggungjawab untuk memberi penjelasan terhadap dakwaan ini memandangkan beliau merupakan Exco Tanah dan Sumber Asli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan kepada SPRM surat tular berhubung skandal pemberian tanah yang didakwa mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Skandal tanah Perak, Putra buat laporan SPRM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!