121 pelajar asnaf terima zakat TH
KOTA KINABALU - Seramai 121 pelajar asnaf menerima sumbangan zakat Tabung Haji sebagai persediaan bagi meneruskan sesi persekolahan sepanjang tahun ini.
Majlis disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan (SMP) Likas di sini, hari ini.
Zulkifli berkata, sumbangan zakat bernilai RM36,300 itu diharap dapat memberikan suntikan semangat dan pendorong kepada pelajar agar lebih berdaya maju serta cemerlang dalam pelajaran, sekali gus meningkatkan taraf sosio ekonomi masing-masing.
"Impak wabak koronavirus (Covid-19) telah mengakibatkan ramai pelajar khususnya dari kalangan mereka yang kurang berkemampuan tidak dapat meneruskan pembelajaran atas kekangan sumber pendapatan keluarga.
"TH komited menjalankan program-program zakat bagi membantu golongan sasar, khususnya golongan asnaf dalam pembangunan ummah yang lestari serta mengukuhkan imejnya sebagai institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang baik," katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat TH di sekolah berkenaan.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Islam Sabah, Dr KassimThusin; Pengarah TH Negeri Sabah, Datin Nurlaila Said; wakil pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMP Likas; pengetua SMP Likas; guru-guru dan anggota-anggota TH.
Dalam majlis sama juga, Zulkifli menyampaikan sumbangan TH berjumlah RM10,000 kepada wakil PIBG SMP Likas bagi penambahbaikan surau sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!