Kami tak takut
NARATHIWAT - Kanak-kanak yang melarikan diri ke Narathiwat terpaksa bermalam di kedai makan selepas gagal menaiki kereta api ke Narathiwat, Ahad lalu.
Bagaimanapun, Nur Fatihah Najwa Seman, 12, dan adiknya, Siti Nur Inshirah, 9, bernasib baik apabila dibantu seorang pemilik kedai makan yang memberikan mereka makan dan menumpang tidur di kedainya ketika mereka tiba di Golok.
Dua beradik ini tekad mahu menjejaki bapanya, Seman Omar, 39, di Kampung Batu Besar, Mukim Bangosato di daerah Rangae.
Nur Fatihah berkata, walaupun dia tidak mengetahui nama kampung bapanya namun berbekalkan RM20 dari tabungnya, dia mahu untuk menaiki kereta api ke Narathiwat.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik naik bas ke Narathiwat
“Saya keluar rumah jam 1 tengah hari bersama adik dan berjalan ke Kampung Tiong sebelum ditumpangkan seseorang ke Stesen Bas Pasir Mas kemudian naik bas ke Rantau Panjang. Dari situ saya berjalan melintasi sempadan Imigresen ke Sungai Golok, saya nak naik kereta api di Stesen Golok tetapi kaunter dah tutup.
“Selepas berjalan beberapa ketika kami disapa oleh seorang wanita peniaga kedai makan, kami diberi makan dan tumpang tidur di kedainya. Esoknya wanita itu bawa kami kepada soldadu (polis).
“Soldadu kemudiannya bawa kami kepada polis Narathiwat sebelum soldadu tempatkan kami di pusat perlindungan kanak- kanak. Keesokan harinya barulah abah datang ambil kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman keluarga bapanya, semalam.
Keluarga ini turut diziarahi Wakil Rakyat Tanyongmat, Tarmizi Mat Nor; Wakil Rakyat Cho- Airong, Arnawi Abas dan Ahli Majlis Cho- Airong, Raja Izuwan Raja Nordin.
Dalam pada itu, pemimpin tempatan masih belum yakin dengan kebajikan dua beradik yang keluar dari rumah dan kini ditemui berada dalam jagaan bapanya di Narathiwat, Thailand.
ARTIKEL BERKAITAN: Budak hilang, cari bapa di Golok
ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik tiada di Golok
ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik ditemui di Narathiwat
Wakil Rakyat Cho- Airong, Arnawi Abas berkata, bapa kanak-kanak itu, Seman belum mempunyai pekerjaan tetap dan tinggal bersama orang tua yang bekerja sebagai peniaga di kedai makan.
Namun, pihaknya akan memantau dua beradik itu seterusnya berusaha untuk mendapatkan kelengkapan pakaian bagi kegunaan kanak-kanak tersebut.
“Berita mereka keluar untuk mencari bapa sangat menyedihkan kami tapi syukur kerana mereka dilindungi Allah sepanjang 100 kilometer perjalanan dari Kampung Machang Limbat, Pasir Tumbuh ke Narathiwat, Thailand.
“Malah saya puji sikap cakna peniaga kedai makan yang ditemui di Golok, kerana bukan sahaja memberi kanak-kanak malang ini makan malah menumpangkan mereka tidur semalaman sebelum membawa mereka ke Balai Polis Golok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!