Polis rampas senapang angin buatan sendiri

A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis merampas selaras senapang angin buatan sendiri dan menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Seri Jenaris, Tikam Batu, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki tempatan berusia 29 tahun itu mengakui memiliki selaras senapang angin yang dibelinya daripada seorang lelaki.

Menurutnya, suspek memaklumkan senapang angin berhulu kayu itu dibeli pada harga RM150 untuk kegunaan sendiri bagi menjaga kebun daripada haiwan liar.

"Polis turut merampas satu guni berwarna putih tertera tulisan LDPE, beg badminton berwarna kuning serta botol berwarna hijau di dalamnya mengandungi 'ball bearing' ketika pemeriksaan di rumah suspek," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Adzli berkata, semakan mendapati suspek yang bekerja sendiri itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Susulan tangkapan suspek pertama, kita turut menahan seorang lelaki yang merupakan pembuat dan penjual senapang angin terbabit," katanya.

Menurutnya, lelaki berusia 28 tahun itu mengaku membuat senapang angin sendiri yang dipelajari daripada YouTube dan menjual senapang angin tersebut kepada suspek pertama.

"Suspek mengaku membuat selaras sahaja senapang angin itu dan turut dirampas sebuah telefon bimbit berwarna hitam mengandungi gambar senapang angin dalam aplikasi Instagram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Adzli berkata, suspek kedua bekerja sendiri dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah.

"Kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga 10 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!