Covid-19: KP Kesihatan tegur masyarakat mula alpa
PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegur sikap masyarakat dan petugas barisan hadapan yang dilihat semakin alpa terhadap kehadiran koronavirus (Covid-19) dalam komuniti.
Menurutnya, nasihat yang telah diberikan mula diambil ringan.
"Ini termasuk oleh petugas barisan hadapan dalam kalangan petugas kesihatan dan agensi lain," katanya.
Beliau berkata, sikap tersebut telah menyumbang kepada peningkatan nilai kebolehjangkitan (R0) Covid-19.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa nilai R0 telah meningkat kepada 1.72 berbanding dua minggu lalu iaitu 0.72. Nilai R0 tersebut telah melebihi paras kritikal iaitu 1.6.
"Peningkatan ketara ini memberi gambaran situasi risiko berlakunya lebih banyak transmisi di dalam komuniti," katanya.
Menurutnya, petugas barisan hadapan sememangnya mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti Covid-19 atau lain-lain penyakit berjangkit ketika di fasiliti kesihatan.
"Ini tidak kiralah di fasiliti kerajaan atau swasta. Selain itu, petugas kesihatan juga boleh mendapat jangkitan semasa berada di dalam komuniti iaitu sama seperti individu yang lain di dalam masyarakat," katanya.
Sehubungan itu, pematuhan seratus peratus terhadap garis panduan dan tatacara pengurusan semasa bertugas dan juga semasa tidak bertugas adalah amat penting.
"Ketidakpatuhan akan mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19," katanya.
Mengambil contoh, katanya, anggota kesihatan daripada Kluster Sungai didapati menjangkiti tujuh orang ahli keluarganya.
"Mengambil iktibar daripada kejadian ini, KKM menggesa semua petugas kesihatan, petugas barisan hadapan pelbagai agensi dan juga semua lapisan masyarakat untuk mengambil serius situasi Covid-19 di dalam negara.
"Ambil langkah berjaga-jaga untuk menjaga diri kita dan keluarga kita pada setiap masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!