KKM saring kes kontak rapat Kluster Sungai di Langkawi

No Image Caption
A
A
A

LANGKAWI - Petugas Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi hari ini mengenal pasti serta menjalankan ujian saringan koronavirus (Covid-19) terhadap kontak rapat satu kes positif daripada Kluster Sungai yang pernah berada di pulau itu pada minggu lepas.

Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mohd Lutpiyudin Azidin berkata, hasil siasatan mendapati individu positif itu telah berada di Langkawi pada Sabtu (5 September) dan telah pulang sehari kemudian (Ahad, 6 September).

"Bermula 10 pagi tadi, petugas Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi telah ke 14 lokasi yang pernah dilawati individu positif terbabit seperti di restoran, tempat penginapan serta lokasi tarikan pelancong yang dikunjunginya.

"Kita telah mengarahkan kontak rapat yang berisiko dari 14 lokasi tersebut untuk datang membuat ujian saringan Covid-19 yang dijalankan bermula 2 petang di Klinik Kesihatan Kuah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Lutpiyudin menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19.

"Saya minta orang ramai tidak panik, terus patuhi SOP seperti menjaga penjarakkan fizikal. Pemilik premis perniagaan, hotel dan sebagainya pula pastikan rekod pengunjung diambil untuk memudahkan aktiviti mengesan kontak dilakukan,” katanya.

Hari ini, Kluster Sungai mencatatkan 22 kes baharu di Kedah dan satu kes baharu di Perlis. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!