Lahirnya pasar besar orang Melayu
AHAD lalu pada 6 September, telah berlangsung majlis perasmian Malakat Mall di Cyberjaya. Majlis disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Malakat Mall merupakan pasar raya Muslim pertama di Malaysia yang membawa imej bisnes Melayu moden di bandar yang menjadi hab IT negara. Apa signifikannya pasar raya itu dengan kita semua? Bukankah ia juga adalah sebuah entiti perniagaan seperti bisnes-bisnes yang lain?
Dari sudut zahirnya memanglah begitu, namun dari segi isi dan inti, Malakat Mall membawa sebuah misi perjuangan besar untuk membina ekosistem ekonomi Melayu Islam.
Ia bermula apabila seorang usahawan dan jutawan, Mohd Fadzil Hashim atau Coach Fadzil menganjurkan siri-siri kursus perniagaan secara percuma kepada usahawan Melayu. Melalui diskusi susulan dengan usahawan itulah, beliau mendapati mereka tidak dapat mengembangkan perniagaan kerana tiadanya market place ataupun pasar besar.
Lantas beliau mencari data dan mendapati pasaran peruncitan di Malaysia yang bernilai RM110 bilion pada tahun 2019 dikuasai oleh pemilik asing. Mereka membolot 60 peratus pasaran, bukan bumiputera pula sebanyak 32 peratus, sementara peniaga Muslim hanya seciput – lapan peratus!
Beliau tertanya-tanya mengapakah kita membuka pintu seluas-luasnya kepada syarikat asing untuk membuka bisnes runcit di Malaysia? Bukankah jika hendak menjual beras, ikan, sayur dan minyak masak, kita pun boleh buat?
Bukankah usahawan kita juga berkebolehan membuat baju, kasut, peralatan elektrik, malah komputer? Tidak mengapalah seandainya syarikat asing itu datang dan dibenarkan melabur untuk membuka syarikat membuat roket ataupun kereta terbang tetapi jika sekadar membuka kedai runcit, biarlah rakyat Malaysia sendiri yang buat.
Berinspirasikan tindakan Rasulullah SAW setelah berhijrah dari Makkah lalu membuka pasar Madinah, Coach Fadzil menjejaki formula itu untuk membuka pasar besar yang diberi nama Malakat Mall. Nama ‘malakat’ pula disematkan daripada nama ‘malakat’ yang bermaksud pertemuan pedagang – gelaran untuk Melaka oleh pedagang Arab ketika zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka.
Jenama
Tatkala ingin mengisi pelbagai jenis perniagaan di Malakat Mall, tiada jenama jean terkenal berminat untuk membuka premis mereka di pasar raya itu.
Ia menyebabkan Coach Fadzil dan pasukan anak-anak Melayu yang menyertainya telah mencipta serta membawa jenama baharu yang belum terdapat di pasaran tempatan.
Maka, wujudlah kedai alatan sukan, peralatan, alat tulis, buku dan farmasi, selain kafe dan pasar keperluan harian. Ia mengubah persepsi dan imej bahawa pasar raya Melayu menjual jubah dan tudung semata-mata.
Lebih menarik, Malakat Mall dibuka tanpa pinjaman bank. Di manakah mereka memperoleh dana?
Pada penghujung tahun lalu, idea membuka sebuah pasar raya Melayu menarik perhatian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). NGO yang diterajui Datuk Nadzim Johan atau Toqqi telah tampil dengan membawa Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM). Koperasi yang hidup segan mati tak mahu dengan hanya 60 orang ahli segera diaktifkan.
Baru 10 bulan ia digerakkan, jumlah ahlinya telah melangkaui 25,000 orang dengan pelaburan melebihi RM10 juta. Kemasukan pelaburan harian bernilai puluhan ribu ringgit daripada ahli-ahli baharu telah memungkinkan Malakat Mall terus berkembang dengan dana sendiri dan mereka merancang membuka 100 buah pasar raya dalam tempoh 10 tahun.
Beliau dan pasukannya tidak bertepuk sebelah tangan. Tiba-tiba terdapat ramai jutawan Melayu yang tak didendang muncul menyuarakan hasrat menyertai perjuangan tersebut. Setakat ini belum ada lagi kumpulan anak-anak Melayu yang bergabung tenaga untuk berjuang menegakkan ekosistem ekonomi bangsa.
Kita sudah ada banyak kumpulan yang membela bangsa dari sudut politik, bahasa, pendidikan dan kemanusiaan. Justeru, satu-satunya usaha mengembalikan maruah bangsa dari sudut ekonomi secara holistik seharusnya kita sokong. Ini sebab kita sebenarnya masih dijajah dari sudut ekonomi.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!