Filipina ikrar buru dalang letupan bom di gereja
MANILA - FILIPINA. Kerajaan Filipina berikrar akan memburu dan 'menghancurkan' dalang di sebalik insiden letupan bom berkembar di sebuah gereja Katolik yang mengorbankan 20 nyawa dan mencederakan berpuluh yang lain.
Insiden letupan berkembar awal pagi tadi di Gereja Our Lady of Mount Carmel di Pulau Jolo yang terletak di wilayah Sulu itu, merupakan antara yang terburuk dalam tempoh beberapa tahun.
Kebanyakan mangsa yang maut merupakan orang awam yang menghadiri upacara keagamaan di gereja berkenaan dan juga anggota tentera, sementara itu, 81 yang lain dilaporkan cedera, 14 daripada mereka anggota tentera, dua anggota polis dan 65 orang awam.
Pihak polis mengurangkan angka kematian dari 27 kepada 20 selepas mendapati terdapat pengiraan berganda dalam rekod awal.
Sementara itu, jurucakap Presiden Rodrigo Duterte, Salvador Panelo mengutuk serangan berdarah itu dan menyifatkannya sebagai 'tindakan keganasan dan pembunuhan'.
"Kami akan mencari dalang di sebalik insiden terbabit dan memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhi hukuman. Undang-undang tidak akan bersimpati terhadap mereka.
"Musuh negara telah berani mencabar kemampuan kerajaan menjaga keselamaan penghuni wilayah berkenaan.
"Pasukan keselamatan Filipina akan menyahut cabaran dan menghancurkan penjenayah terbabit," tegas Panelo dalam satu kenyataan.
Setakat ini tiada pihak tampil bertanggungjawab ke atas serangan, namun polis mengesyaki pengeboman didalangi militan Abu Sayyaf yang dikenali sebagai organisasi pengganas. - Agensi
ARTIKEL BERKAITAN: Angka korban letupan berkembar di gereja Filipina meningkat 27 orang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!