Polis, SPRM perlu siasat isu pencemaran air Selangor
SHAH ALAM - Pas mempersoalkan ketegasan dan kesegeraan kerajaan Selangor untuk bertindak menangani perbuatan mencemarkan alam sekitar hingga mengundang kesan buruk.
Naib Presidennya, Senator Idris Ahmad berkata, kelewatan tindakan kerajaan negeri itu dalam menangani pembuangan sisa berat oleh pihak disyaki menyebabkan sungai sebagai sumber air dicemari dengan teruk.
Menurutnya, kejadian seumpama telah berlaku sebelum ini dan di lokasi sama pernah juga terdapat syarikat di situ melakukan perbuatan sama dan menghadapi tindakan mahkamah selain kompaun.
"Berulang-ulangnya tragedi ini dan tindakan yang dilihat berbeza oleh pihak kerajaan Selangor dalam menanganinya seperti menunjukkan adanya layanan berbeza atau ‘double-standard’ dalam penguatkuasaan. Inikah ‘rule of law’ yang dilaung-laungkan pemerintahan Pakatan Harapan?
"Sehingga sekurang-kurangnya pada Rabu (hari ini), lebih lima juta penduduk dari lebih 1.2 juta kediaman dan premis perniagaan terjejas bekalan air bersih akibat perkara ini," katanya dalam kenyataannya hari ini.
Beliau berkata, dari pemerhatian pihak Universiti Putra Malaysia, sebanyak sembilan kali gangguan seumpama berlaku direkodkan pada tahun lepas di Lembah Klang.
Menurut Idris, ia tentunya menimbulkan trauma terburuk bagi penduduk yang mempunyai rutin tersibuk di Malaysia di negeri berstatus maju ini.
"Malah, perbuatan mencemar sungai terbabit juga telah berkali-kali menjejaskan beberapa loji rawatan air (LRA) di mana tentu sekali meningkatkan penyelenggaraan dan berisiko menyebabkan kerosakan peralatan atau sistem berkenaan.
"Ini akan membesarkan lagi peruntukan kewangan yang sepatutnya dapat dijimatkan untuk manfaat lain," katanya.
Sehubungan itu, Pas menyarankan agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu tersebut.
"Diharap diperluas juga siasatan ke atas pihak pentadbiran dan penguatkuasaan kerajaan Selangor yang sehingga kini dilihat perlahan bertindak ke atas premis disyaki terlibat dalam pencemaran itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!