Covid-19 burukkan lagi ekonomi Palestin

Koronavirus (Covid-19) menyebabkan situasi ekonomi di wilayah Palestin yang diduduki semakin buruk. Foto AFP
Koronavirus (Covid-19) menyebabkan situasi ekonomi di wilayah Palestin yang diduduki semakin buruk. Foto AFP
A
A
A

GENEVA - Koronavirus (Covid-19) menyebabkan situasi ekonomi di wilayah Palestin yang diduduki semakin buruk, lapor Agensi Anadolu, memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.

Pandemik itu melanda pada saat wilayah itu dicengkam pelbagai tekanan, kata Agensi Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) dan keadaan itu turut mengancam proses penyelesaian dua negara Israel dan Palestin.

"Sebelum Covid-19 melanda, ramalan ekonomi Palestin pada 2020 dan 2021 sudah dalam keadaan suram dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita turun sebanyak tiga peratus menjadi 4.5 peratus," menurut laporan itu.

Sehingga Selasa, Tebing Barat dan Gaza melaporkan 27,363 kes Covid-19 dengan 190 kematian, menurut Johns Hopkins University.

Pengarah strategi globalisasi dan pembangunan UNCTAD Richard Kozul-Wright dalam satu sidang akhbar berkata, keadaan ekonomi semakin buruk kerana kegagalan masyarakat antarabangsa menunaikan janji untuk memastikan penyelesaian dua negara dapat direalisasikan.

Kadar kemiskinan dan pengangguran yang tinggi berterusan, KDNK per kapita menurun untuk tahun ketiga berturut-turut, ketika ekonomi Palestin merudum pada 2019 dan separuh pertama 2020, kata laporan itu.

Bajet sumbangan menurun dari 32 peratus daripada KDNK pada 2008 kepada 3.5 peratus pada 2019.

Pertumbuhan pada 2018, mahupun sebelum Covid-19 di wilayah Palestin yang diduduki kurang satu peratus iaitu 0.9 mata peratusan di Tebing Barat dan 1.5 peratus di Gaza - terendah sejak 2012.

Artikel Berkaitan:

Tahap pengangguran dari 31 peratus pada 2018 kepada 33 peratus pada 2019 manakala tahap kemiskinan meningkat dari 25.8 peratus menjadi 29.2 peratus antara 2011 dan 2017.

Di Gaza, 80 peratus penduduk sangat bergantung kepada bantuan antarabangsa.

Pada sidang media sama, itu, penyelaras UNCTAD untuk bantuan kepada rakyat Palestin, Mahmoud Elkhafif berkata, pada 2018, terdapat 150 penempatan di Tebing Barat dan 128 penempatan yang masih dalam pembinaan.

Beliau berkata, keadaan bertambah buruk apabila rakyat Palestin tidak dibenarkan untuk menjalankan pembangunan di tanah mereka sendiri.

"Pada 2018, rejim Israel merobohkan atau merampas 622 kediaman Palestin di Tebing Barat," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!