Tun M kemuka usul tidak percaya terhadap PM di laman sosial

Dr Mahathir - Foto fail Bernama (Tangkap layar Facebook Dr Mahathir)
Dr Mahathir - Foto fail Bernama (Tangkap layar Facebook Dr Mahathir)
A
A
A

SHAH ALAM - Akibat kecewa gagal membawa usul tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyiarkan usul itu di laman sosial dan blognya hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, usul berkenaan telah disenaraikan tetapi kerajaan menentukan usul tersebut tidak akan dikemukakan dan dibahas apabila ia telah dua kali diletakkan pada akhir sidang Dewan Rakyat.

“Usul kerajaan didahulukan sehingga tidak ada masa untuk usul saya dibahas. Dengan cara ini sampai bila-bila pun usul saya tidak akan dibincang dalam dewan.

“Oleh kerana saya tidak mungkin kemukakan usul saya dalam Parlimen, maka saya terpaksa siar usul ini dalam blog saya untuk tatapan orang ramai,” katanya dalam kenyataan di Facebook dan blognya hari ini.

Dalam usul yang dikongsikan itu, Dr Mahathir menyenaraikan puluhan sebab beliau mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu.

Namun sebab utama kata Dr Mahathir ialah pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tanpa pilihan raya umum (PRU) mencabul sistem dan aturan peraturan dalam Perlembagaan Negara.

Menurutnya, cara itu akan menghilangkan kepercayaan rakyat bahawa melalui PRU rakyat dapat bentuk kerajaan pilihan mereka.

“Yang jelas ialah suara rakyat tidak mempunyai nilai di Malaysia lagi. Kerana melalui pintu belakang parti yang ditolak oleh rakyat boleh jadi kerajaan. Rakyat tertipu dengan cara ini.

Artikel Berkaitan:

“Apa gunanya PRU jika yang ditolak oleh rakyat boleh mendirikan kerajaan dan yang dipilih oleh mereka dijatuhkan dengan penipuan.

“Inilah sebab utama yang saya kemukakan usul tidak percaya kepada YAB Tan Sri dari Pagoh sebagai Perdana Menteri," katanya.

Beliau mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Muhyiddin merampas hak rakyat yang mengundi memilih kerajaan pada pilihan raya umum yang lalu.

“Seperti yang Tan Sri sendiri mengaku kerajaan Tan Sri bukanlah kerajaan pilihan rakyat. Ia adalah hasil dari penipuan terhadap rakyat yang bersusah payah datang dari jauh dan dekat untuk mengundi.

“Kita tidak perlu undang-undang untuk menghalang penipuan seperti ini. Kita harap orang politik di Malaysia mempunyai moral yang tinggi dan menolak rasuah dan penipuan. Jika tidak, maka akan hancurlah negara kerana akan diperintah oleh penyangak dan penyamun,” katanya.

Atas sebab itu, dalam usul berkenaan beliau kemudiannya mahu mencadang agar kerajaan Perikatan Nasional menyerah balik kuasa kepada yang hak sebagai penutup.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!