Salah guna kuasa: SPRM tahan Pegawai Kawasan LPNM, isteri
JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang Pegawai Kawasan di Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) atas kesalahan salah guna kuasa.
Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek menggunakan kedudukan dengan memilih isterinya sebagai pembekal benih baja nanas pada tahun 2014 dan 2015 berjumlah lebih RM65,000, tetapi pembekalan itu tidak dilaksanakan.
Suspek, 39, dan isterinya, 37, yang merupakan seorang suri rumah ditahan di Pejabat SPRM Johor di sini pada jam 10.15 pagi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18, 23 dan 28 Akta SPRM 2009, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tangkapan tersebut, namun enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!