Lima cubaan cemar sungai berjaya dihalang dalam dua bulan

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) pada Majlis Pengisytiharan dan Sidang Media Sempena Menjunjung Kasih Sultan Selangor Bagi Pengisytiharan MPKL hari ini.- Foto: Bernama
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) pada Majlis Pengisytiharan dan Sidang Media Sempena Menjunjung Kasih Sultan Selangor Bagi Pengisytiharan MPKL hari ini.- Foto: Bernama
A
A
A

BANTING - Lima cubaan pencemaran sungai di sekitar Selangor yang boleh membawa kepada penutupan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) berjaya dihalang dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, namun begitu pencemaran melibatkan Sungai Gong baru-baru ini gagal dihalang berikutan ia melibatkan masalah bau dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Beliau berkata, pekerja Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga sebenarnya sebelum ini sememangnya sudah dikerahkan untuk bertugas mengikut syif bagi memantau keadaan sungai di negeri ini.

"Kejadian ini merupakan salah satu daripada pelbagai cubaan untuk melakukan pencemaran di sungai dan sebagaimana saya laporkan dalam tempoh dua bulan kita berjaya menghalang lima cubaan pencemaran.

"Cumanya kali ini pencemaran itu adalah melibatkan masalah bau dan sesuatu yang tak dapat dilihat dengan mata," katanya kepada media selepas Majlis Pengisytiharan Sempena Menjunjung Titah Sultan Selangor Bagi Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di Dewan Seri Jugra hari ini.

Terdahulu, beberapa kawasan berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan daripada insiden pencemaran bau yang berlaku di Sungai Gong.

Susulan insiden itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan menerima menghadap Amirudin dan menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap impak yang terpaksa ditanggung rakyat negeri akibat pencemaran sungai itu.

Mengulas mengenai pertemuannya bersama Sultan Selangor semalam, Amirudin berkata, pihaknya turut mempersembahkan kepada baginda bahawa kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa sebelum ini bagi memantau lembangan sungai-sungai utama.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Selangor menjunjung kasih titah Sultan Selangor yang mana kita akan laksanakan proses perobohan kilang-kilang yang tidak mendapat kelulusan.

"Sebenarnya sampai akhir tahun ini, kerajaan Selangor sedang laksanakan proses pemutihan atau penempatan semula kilang-kilang terlibat," katanya.

Katanya, kerajaan Selangor memberi tempoh sehingga akhir tahun ini bagi pelaksanaan program pemutihan kilang itu bagi membolehkan pihak terlibat memulihkan keadaan premis masing-masing.

"Program pemutihan ini dilaksanakan sejak 2008 lagi tapi sambutannya kurang menggalakkan sebab ada pemilik tanah tak suka berikutan ia libatkan kos tinggi.

"Sebab itu kita bagi tawaran sampai akhir tahun ini tapi kalau ia mendesak, kita boleh laksanakan lebih awal," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!