Nilai moratorium bayaran balik pinjaman RM81.9 bilion
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang berkuatkuasa sejak 1 April lalu dianggarkan berjumlah RM81.9 bilion setakat 28 Ogos 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, daripada nilai itu sebanyak RM28.6 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh peminjam individu bernilai RM53.3 bilion.
“Sebanyak 732,000 peminjam yang mengambil moratorium secara automatik telah kembali meneruskan bayaran ansuran bulanan pinjaman berbanding dengan 336,000 peminjam pada bulan April 2020,” katanya dalam laporan Laksana ke-20 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semua Ekonomi Negara (Penjana) yang dikeluarkan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, sehingga 28 Ogos, pihak bank telah menghubungi lebih 2.0 juta peminjam yang merangkumi individu, perusahaan kecil sederhana (PKS) dan syarikat lain termasuk perniagaan korporat dan komersial bagi menawarkan bantuan pembayaran pembiayaan.
Menurutnya, menjelang tamatnya moratorium secara umum pada 30 September ini, institusi perbankan terus bersedia untuk membantu peminjam yang masih terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19) melalui moratorium lanjutan dan bantuan bank bersasar bermula 1 Oktober.
Inisiatif itu, katanya, bertujuan untuk menjamin perniagaan dan isi rumah yang benar-benar memerlukan akan dapat terus dibantu melalui akses kepada pembiayaan.
Sementara itu Tengku Zafrul berkata, memandangkan penemuan dan pembuatan vaksin Covid-19 secara komersial akan mengambil masa, sistem perbankan negara perlu terus kekal utuh dan kukuh untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan pada masa hadapan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!