AS beri amaran kepada Venezuela
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) John Bolton memberi amaran kepada Venezuela, sebarang ancaman terhadap diplomatnya dan ketua pembangkang, Juan Guaido akan 'dibalas sewajarnya'.
Menurut Bolton yang menulis di laman Twitter, intimidasi sedemikian dianggap 'serangan terhadap kedaulatan undang-undang'.
Amaran dikeluarkan selepas AS dan lebih 20 negara lain mengiktiraf Guaido sebagai presiden interim negara Amerika Selatan itu.
Kemelut politik Venezuela turut menyaksikan beberapa negara Eropah termasuk Sepanyol, Jerman dan Perancis, memberi kata dua terhadap Presiden Nicolas Maduro, yang sebelum ini memutuskan hubungan diplomatik dengan AS.
Sekiranya pilihan raya tidak diadakan dalam masa lapan hari, pemimpin Eropah akan menyokong Guaido sebagai presiden Venezuela.
Desakan tersebut disangkal Maduro yang menegaskan ultimatum tersebut harus ditarik balik, kerana Venezuela tidak terikat dengan negara Eropah.
Terbaharu, wakil tentera tertinggi Venezuela ke AS, Kolonel Jose Luis Silva 'berpaling tadah' terhadap kepimpinan Maduro dengan mengiktiraf Guaido sebagai presiden.
Terdesak untuk mempertahankan jawatannya, Maduro menyatakan kesediaan untuk berdialog dengan mereka yang menentang kepimpinan beliau.
Sementara itu, Guido dilaporkan mengadakan perbincangan dengan beberapa pegawai tentera Venezuela dalam usaha memperkuatkan kedudukan. - BBC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!