PPZ-MAIWP sasar tingkat jumlah penerima Khaira-PPZ

Penyerahan sumbangan Khaira PPZ oleh Ahmad Shukri (kiri) kepada KUPTM diterima oleh Darulihsan.
Penyerahan sumbangan Khaira PPZ oleh Ahmad Shukri (kiri) kepada KUPTM diterima oleh Darulihsan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan untuk meningkatkan jumlah universiti dan pelajar yang menerima manfaat dalam program Khaira-PPZ.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, pasukan Khaira-PPZ sedang mengkaji bentuk bantuan terbaik sama ada kewangan atau food bank untuk diagihkan.

Namun menurutnya, selain sumbangan Khaira PPZ secara umumnya sebahagian besar bayaran zakat yang diterima dari universiti dan kolej akan dikembalikan ke institusi berkenaan untuk disalurkan kepada kakitangan serta pelajar memerlukan.

"Dalam erti kata lain, jika PPZ tidak menganjurkan program sumbangan (Khaira PPZ) bermakna wang tersebut telah dipulangkan ke institusi berkenaan untuk diagihkan mengikut keperluan pelajar masing-masing yang akan diuruskan oleh unit Hel Ehwal Pelajar (HEP) institusi berkenaan," katanya selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan Khaira PPZ kepada Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) di sini semalam.

Turut hadir, Naib Canselor KUPTM, Profesor Dr Darulihsan Abdul Hamid.

Program tanggungjawab sosial korporat itu menyaksikan penyerahan sumbangan RM18,000 untuk kegunaan bekalan makanan kering selama tiga bulan kepada 100 pelajar asnaf di institut pengajian itu.

Ahmad Shukri berkata, setakat ini sebanyak lima universiti telah disantuni termasuk Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang program bantuan disalurkan mengikut keperluan.

Artikel Berkaitan:

Penyerahan sumbangan Khaira PPZ oleh Ahmad Shukri (empat dari kiri) kepada KUPTM diterima oleh Darulihsan.
Penyerahan sumbangan Khaira PPZ oleh Ahmad Shukri (empat dari kiri) kepada KUPTM diterima oleh Darulihsan.

"Program bagi setiap universiti itu berbeza-beza cuma dalam bentuk bekalan makanan PPZ telah adakan sumbangan kepada pelajar di UM dan KUPTM.

"Pemilihan KUPTM hari ini adalah hasil ziarah dan pertemuan yang diadakan sebelum ini di mana kami melihat ada ruang untuk kita hulurkan bantuan kepada pelajar daripada keluarga B40 yang terjejas dengan koronavirus (Covid-19)," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Shukri memaklumkan kutipan zakat di PPZ-MAIWP tidak menunjukkan kesan ketara tahun ini walaupun negara terkesan dengan penularan Covid-19.

"Mengikut data yang kami ada setakat ini belum ada lagi penurunan kutipan, bahkan meningkat kepada sembilan peratus daripada kutipan dari tahun lepas.

"Kami berusaha menambah kutipan tahun ini menjadi RM690 juta berbanding 682 juta tahun sebelumnya untuk menunjukkan yang Covid-19 tidak memberikan kesan besar kepada PPZ-MAIWP," katanya.

Setakat Ogos, kutipan diterima menerusi pembayaran adalah RM448.7 juta berbanding RM 413.7 juta tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!