Musa Aman beri bayangan ke Sungai Manila

 Musa Aman
Musa Aman
A
A
A

KOTA KINABALU - I'm going back to Sungai Manila (Saya akan kembali ke Sungai Manila) merupakan status Facebook terbaharu dikongsi oleh Tan Sri Musa Aman hari ini.

Ini mungkin menjadi petunjuk daripada bekas Ketua Menteri Sabah itu bahawa beliau akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila yang baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Susulan perkongsian itu, timbul tanda tanya sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu tidak akan mempertahankan kerusinya itu atau bertanding di kawasan DUN baharu Sungai Manila.

Teka-teki itu pastinya terjawab apabila Barisan Nasional (BN) dan Bersatu mengumumkan calon mewakili parti masing-masing dalam sebuah majlis yang dijadualkan esok.

DUN Sungai Manila dalam kawasan Parlimen Libaran merupakan kubu kuat UMNO.

Bagaimanapun, Musa enggan mengulas lanjut perkara itu di laman Facebooknya dan cubaan menghubunginya tidak berhasil.

DUN Sungai Manila, yang terletak bersebelahan DUN Sungai Sibuga, merupakan salah satu antara 13 DUN baharu daripada keseluruhan 73 kerusi DUN yang akan dipertandingkan pada PRN Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini bagi penamaan calon dan pengundian pada 26 September ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!