Berita palsu jejaskan pendapatan restoran nasi kandar

Abdul Aziz (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat pihaknya sebelum ini pada sidang akhbar di Bukit Mertajam hari ini.
Abdul Aziz (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat pihaknya sebelum ini pada sidang akhbar di Bukit Mertajam hari ini.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) kesal dengan berita palsu yang ditularkan di laman sosial sehingga menjejaskan perniagaan restoran nasi kandar di seluruh negara.

Jurucakapnya, Abdul Aziz Shaik Ahmad berkata, kenyataan fitnah yang memberi peringatan kod merah kepada orang ramai supaya menjauhkan diri dari kedai mamak, restoran nasi kandar dan kedai India kononnya berpotensi menjadi tempat merebak virus adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, terdapat pengguna laman sosial yang menyebar berita palsu itu dengan memaparkan gambar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagi memberi gambaran kenyataan itu dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

"Perbuatan jijik ini telah menjejaskan perniagaan kami malah ia berniat jahat untuk merosakkan reputasi restoran nasi kandar di seluruh negara.

"Berita mengenai perkara ini telah disahkan palsu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini namun masih ada yang tidak bertanggungjawab menularkan berita ini bukan sahaja di Facebook malah melalui aplikasi WhatsApp," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Aziz yang juga Ahli Jawatankuasa Presma serta pemilik rangkaian Nasi Kandar Dinas berkata, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kebanyakan pengusaha restoran nasi kandar hilang sumber pendapatan disebabkan tidak dapat menjalankan perniagaan dan kini mereka sekali lagi berdepan dengan dugaan disebabkan berita palsu yang ditularkan.

Kesal dengan kejadian itu, Abdul Aziz berkata, beliau telah membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat individu yang menyebarkan berita palsu berkenaan.

"Saya berharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat penyebar fitnah ini dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Artikel Berkaitan:

"Memang tidak dapat dinafikan kebanyakan pengusaha restoran nasi kandar menggunakan pekerja dari India namun sepanjang tempoh PKP mereka tidak dibenarkan pulang ke negara asal mahupun balik ke sini. Berita yang ditularkan itu bukan sahaja berniat jahat malah boleh mencetuskan kebimbangan orang ramai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!