Mahu kanak-kanak OKU dibantu: MB Negeri Sembilan

Aminuddin (dua, kiri) melihat bilik komputer dan multisensori Kelas Program Pendidikan Khas Integrasi SK Seri Kelana, semalam.
Aminuddin (dua, kiri) melihat bilik komputer dan multisensori Kelas Program Pendidikan Khas Integrasi SK Seri Kelana, semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri berharap lebih banyak syarikat korporat atau individu membantu memberi sumbangan khusus untuk pembangunan pendidikan anak-anak orang kelainan upaya (OKU) di sekolah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sumbangan mereka diperlukan kerana kemudahan pembelajaran golongan berkenaan berbeza dan lebih tinggi kosnya berbanding pelajar normal.

“Menerusi program Jabatan Pendidikan, ‘Jom Poei Nolong Sekolah’, kita sangat mengalu-alukan mana-mana pihak sama ada swasta atau individu untuk kembali ke sekolah membantu keperluan pendidikan anak-anak istimewa ini.

"Biasanya dengan sumbangan diberi ini mereka boleh dikecualikan cukai," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-40 Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kelana, semalam.

Aminuddin turut merasmikan bilik komputer dan multisensori Kelas Program Pendidikan Khas Integrasi sekolah berkenaan yang disediakan hasil sumbangan syarikat korporat dan ibu bapa.

Dalam pada itu, beliau turut menegur segelintir ibu bapa yang didapati tidak pernah datang ke mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau program sekolah.

Menurutnya, komitmen ibu bapa amat penting dalam perkembangan anak-anak selain sentiasa menjalin hubungan baik dengan guru.

“Kalau betul sayangkan anak, luangkan masa datang ke sekolah atau ambil cuti berbincang dengan guru tentang perkembangan anak kita.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa sama hormatilah pendidik ini yang kadang kala sanggup korbankan waktu cuti mereka buat program untuk anak-anak kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!