Ringgit dibuka tinggi pagi ini menjelang mesyuarat MPC

Urus niaga ringgit dibuka tinggi sedikit pagi ini menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini.
Urus niaga ringgit dibuka tinggi sedikit pagi ini menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Urus niaga ringgit dibuka tinggi sedikit pagi ini menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.10 pagi, mata wang tempatan disebut harga 4.1630/1680 berbanding dolar AS daripada 4.1700/1740 ketika ditutup petang semalam.

Bank pusat telah menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) empat kali tahun ini menjadikannya kepada 1.75 peratus, paras terendah direkodkan sejak 2014.

Mesyuarat MPC akan diadakan hari ini dengan kali terakhir ialah pada 3 November.

Ketua strategi pasaran global AxiCorp Stephen Innes berkata, peniaga tempatan mungkin seperti kebiasaan akan mengambil sikap tunggu dan lihat sambil menantikan keputusan mengenai kadar itu oleh BNM hari ini.

“Bagaimanapun, dengan risiko global semakin baik, begitu juga dengan harga minyak mentah yang disokong oleh kenaikan pasaran semalaman, mata wang tempatan boleh diniagakan dengan lebih tinggi lagi,” kata beliau kepada Bernama

Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent turun 0.49 peratus kepada AS$40.59 setong.

Sementara itu, ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan BNM akan menangguhkan penurunan OPR kerana data ekonomi yang agak baik baru-baru ini seperti data penjualan kenderaan, eksport dan indeks Pengurus Pembelian (PMI).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ini menunjukkan BNM tidak perlu bertindak tergesa-gesa memandangkan kadar penanda aras itu telah pun dikurangkan sebanyak 125 mata asas antara Januari dan Julai tahun ini dan ia telah pun berada pada paras terendah.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.4086/4163 daripada 5.3985/4053 semalam dan turun berbanding euro kepada 4.9165/9228 daripada 4.9060/9124.

Unit tempatan itu jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0454/0501 daripada 3.0447/0487 sebelumnya tetapi meningkat berbanding yen kepada 3.9203/9254 daripada 3.9314/9363. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!