MPKK Terengganu dapat geran RM4.18 juta
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu akan menyalurkan bantuan geran secara ‘one-off’ sebanyak RM4,000 kepada 1,047 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh negeri ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, semua MPKK negeri itu layak menerima bantuan geran melibatkan peruntukan sebanyak RM4.188 juta.
Menurutnya, agihan dijangka bermula akhir bulan ini dan penyaluran geran berkenaan adalah bantuan jangka pendek bagi tahun 2020 dalam rangka keprihatinan kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan pengurusan MPKK Terengganu sentiasa berada pada tahap terbaik dalam memberikan khidmat bakti kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Azman berkata, kerajaan berharap bantuan itu dapat merangsang perancangan serta pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di peringkat kampung melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua MPKK memanfaatkan peruntukan geran itu secara bijak dengan membuat perancangan terbaik.
“Kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat dan bantuan lain akan dilihat dari masa ke masa secara berkala,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!