Johor semak semula Belanjawan 2020

Hasni pada sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Foto: Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor
Hasni pada sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini. Foto: Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Semakan semula Belanjawan 2020 antara beberapa langkah fiskal diambil kerajaan Johor bagi memastikan kewangan negeri ini kekal stabil, kukuh dan berdaya tahan.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, semakan semula Belanjawan 2020 dilaksanakan dengan meneliti dan menstrukturkan perbelanjaan jabatan seluruh negeri.

"Langkah ini melibatkan semakan dan penjajaran semula peruntukan jabatan supaya difokuskan kepada peningkatan daya tahan ekonomi dan sosial rakyat Johor.

"Semakan semula belanjawan ini turut mengambil kira peruntukan sebanyak RM174.46 juta bagi pelaksanaan 54 inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor Siri 1 dan Siri 2," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan K Raven (PN-Tenggaroh) berkenaan langkah fiskal yang sedang dilakukan kerajaan negeri bagi memastikan kewangan negeri stabil pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Hasni berkata, semua langkah yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor Siri 1 dan Siri 2 adalah bersifat 'one¬off' dan tidak akan membebankan kewangan kerajaan negeri dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan melaksanakan konsolidasi fiskal dan tindakan itu bakal menggerakkan ekonomi Johor semula pasca pandemik koronavirus (Covid-19).

Selain itu katanya, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kutipan hasil dan kecekapan perbelanjaan bagi mengukuhkan lagi kedudukan kewangan Kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri juga memperkenalkan dasar yang bersesuaian untuk semua sektor ekonomi dan sosial yang mampu menjadikan negeri lebih berdaya tahan pada masa mendatang," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Johor menjadi negeri pertama menubuhkan majlis ekonomi dinamakan Ibrahim Johor Economic Council (IJEC) sebagai usaha pemulihan ekonomi daripada kesan pandemik Covid-19 menerusi enam sektor dikenal pasti.

"Ini melibatkan sektor pelancongan, sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor pembuatan dan perdagangan, sektor pembinaan dan hartanah,

sektor modal insan serta sektor pertanian dan asas tani," katanya.

Hasni berkata, inisiatif kerajaan negeri dalam membantu memulihkan perdagangan dan ekonomi negeri akibat Covid-19 akan dibentangkan dalam Rundingan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!