'Kami pasti bangkit kembali'
28 SEPTEMBER 2018 menjadi tarikh yang tidak dapat dilupakan penduduk di Sulawesi, Indonesia apabila kawasan tersebut dilanda gempa bumi dan tsunami sehingga mengorbankan ribuan nyawa.
Malah gempa bumi berukuran lebih 7 skala magnitud yang mencetuskan tsunami kuat itu turut menghancurkan kediaman penduduk, tapak perniagaan dan pusat peranginan selain berlakunya likuifaksi (fenomena pergerakan tanah).
Secara nyata, gempa bumi dan tsunami Sulawesi 2018 ini juga telah mengakibatkan kerosakan harta benda dan meragut nyawa penduduk terutama di Kabupaten Donggala sehinggakan apa yang berlaku mendapat perhatian negara luar.
Selang beberapa bulan kemudiannya, Indonesia sekali lagi diuji dengan tsunami Selat Sunda yang berlaku pada 22 Disember 2018 disebabkan oleh letusan Anak Krakatau yang menghentam Banten, terletak di hujung barat Pulau Jawa.
Difahamkan, lebih 400 korban jiwa dilaporkan selain terdapat angka nyawa yang mengalami kecederaan dan orang hilang yang tidak dapat dianggarkan dengan tepat jumlahnya akibat daripada tsunami tersebut.
Laut biru, pasir putih
Peluang untuk meninjau sendiri lokasi bencana alam ini iaitu Kota Palu, Donggala dan Banten bersama Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) menjadi satu pengalaman baharu buat penulis.
Jika diamati, Kota Palu termasuklah Donggala dan Banten ini kawasan jajaran pantai yang cantik dengan air lautnya yang kebiruan serta pasirnya yang memutih, sekali gus menjadi tumpuan umum termasuklah pelancong asing.
Bagaimanapun, bencana yang berlaku ke atas kawasan-kawasan ini, telah meninggalkan kesan-kesan runtuhan kediaman, tapak perniagaan dan pusat peranginan selain merosakkan tanaman sawah padi penduduk.
Selain itu, pertemuan dengan penduduk di Kota Palu, Donggala dan Banten telah menghadirkan cerita sedih sehingga ada di antara mereka memberitahu kehilangan ahli keluarga akibat daripada gempa bumi dan tsunami tersebut.
Meskipun begitu, kehadiran Misi Kemanusiaan Perahu4Palu dan Bantuan Tsunami Selat Sunda anjuran MyCARE dan Econsave tetap disambut mesra dengan senyuman di kalangan warga Kota Palu, Donggala dan Banten.
Mereka meraikan kunjungan sukarelawan dan menerima seadanya bantuan berupa perahu kepada nelayan, bungkusan makanan, pek keceriaan kanak-kanak, kit kebersihan diri, telekung dan wang tunai yang mana keseluruhan sumbangan berjumlah lebih RM120,000.
Kesemua mereka yang ditemui mengucapkan rasa syukur ke hadrat Illahi dan gembira di atas sumbangan disampaikan yang sedikit sebanyak meringankan beban dihadapi pasca bencana tersebut.
Terpaksa pinjam perahu
Katua Kampung Loli Dondo, Arwin lanuntju berkata, gempa bumi dan tsunami yang melanda perkampungan nelayan tersebut telah merosakkan perahu-perahu penduduk, sekali gus menjejaskan mata pencarian mereka.
Bagaimanapun, katanya, bantuan berupa sumbangan perahu daripada MyCARE dan Econsave memberikan sinar harapan dan semangat kepada nelayan di perkampungan itu untuk kembali turun ke laut mencari rezeki.
"Bencana yang berlaku menyebabkan ada di antara nelayan tidak dapat ke laut kerana perahu mereka rosak dan hilang. Ada juga nelayan terpaksa meminjam atau menyewa perahu nelayan lain untuk menangkap ikan.
"Alhamdulillah. Bantuan perahu daripada MyCARE dan Econsave ini membantu nelayan untuk kembali ke laut untuk menangkap ikan. Saya selaku ketua kampung mengucapkan terima kasih dan bersyukur di atas keprihatinan ini," katanya.
Selain itu, sukarelawan misi kemanusiaan MyCARE dan Econsave juga sempat meninjau kesan runtuhan bangunan serta melawat pantai di Kota Palu yang turut dihentam tsunami dan bertemu dengan beberapa penduduk setempat.
Bagi peniaga air kelapa di Kota Palu, Zamri Rasim berkata, bencana tersebut juga mengakibatkan gerai-gerai di pesisir pantai rosak teruk dan hanyut ke darat sehingga menjejaskan pendapatan mereka sebagai peniaga.
"Sebelum tsunami, terdapat banyak gerai peniaga di sekitar pesisir pantai di Palu. Apabila berlakunya gempa bumi dan tsunami pada tahun lalu, habis segala gerai-gerai peniaga dibawa air laut.
"Namun saya percaya, kawasan ini akan kembali pulih. Warga Palu akan bangkit semula. Apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Kita harus terima ia dan tidak terus bersedih tanpa melakukan apa-apa," katanya.
Cekal hadapi musibah
Sepanjang berada di Palu dan Banten dalam misi kemanusiaan yang memakan masa empat hari tiga malam ini, dapat disimpulkan bagaimana kuatnya semangat penduduk di lokasi yang terjejas teruk akibat bencana tersebut.
Walaupun kehilangan tempat tinggal, tapak berniaga dan ahli keluarga, mereka cekal menghadapi musibah yang melanda, sekali gus bangkit meneruskan kehidupan seharian tanpa menoleh ke belakang.
Mereka diuji dengan bencana seumpama itu, bersedih dengan kehilangan harta benda dan nyawa insan tersayang, tetapi masih tetap berusaha gigih untuk menghadapi liku-liku kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.
Malah gempa bumi dan tsunami yang berlaku telah membuka jalan kepada banyak negara termasuk Malaysia menzahirkan keprihatinan serta menjalinkan ukhuwah bersama penduduk di Palu, Donggala dan Banten.
Wujudnya NGO seperti MyCARE dan pihak Econsave mewakili Malaysia-Johor membantu mangsa tsunami Sulawesi dan Selat Sunda, bukanlah untuk mencari nama, tetapi kerana sifat kemanusiaan yang menebal.
Sudah tentu Misi Kemanusiaan Perahu4Palu dan Bantuan Tsunami Selat Sunda anjuran MyCARE dan Econsave tidak akan terhenti setakat ini. sebaliknya berterusan untuk menyalurkan bantuan sekiranya diperlukan.
Tahniah dan terima kasih kepada Pengurus MyCARE Johor, Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar dan Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam di atas jasa serta niat murni yang diterjemahkan menerusi misi kemanusiaan ini.
Tidak lupa setinggi ucapan terima kasih kepada sukarelawan dari Indonesia iaitu PKPU Human Initiative yang banyak membantu melancarkan pergerakan dan penyampaian sumbangan misi kemanusiaan ini sepanjang di sana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!