Tangani isu kualiti pembangunan

Zuraida pada sidang akhbar selepas melancarkan Digital Skim Rumah Pertamaku di Kuala Lumpur. - Foto UKK KPKT
Zuraida pada sidang akhbar selepas melancarkan Digital Skim Rumah Pertamaku di Kuala Lumpur. - Foto UKK KPKT
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperketatkan undang-undang pembangunan perumahan yang melibatkan kualiti pembinaan terutama projek rumah mampu milik dan perumahan penjawat awam.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu adalah perlu susulan pelbagai isu keselamatan yang timbul apabila pemaju membina perumahan dalam keadaan yang tidak sempurna dan kurang berkualiti.

"Tindakan yang diambil oleh KPKT adalah menyenaraihitamkan pemaju yang gagal mengikut spesifikasi tetapi masih ada kelompongan kerana terdapat pemaju yang kembali semula dengan syarikat yang lain.

"Jadi, dari sini kita lihat undang-undang masih perlu lebih diperketatkan bagi memastikan mereka menunaikan janji untuk mengikut kualiti spesifikasi yang telah ditetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Digital Skim Rumah Pertamaku di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai isu kualiti pembangunan yang tidak memuaskan melibatkan projek di bawah KPKT seperti Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Bukit Jalil dan PPAM Residensi Bayu Andaman di Sentul.

Zuraida berkata, pemantauan oleh KPKT telah dilaksanakan sejak tahun 2018, namun masih terdapat kes pemaju yang gagal mematuhi kualiti pembangunan yang ditetapkan kerajaan.

Malah, katanya, dalam laporan audit yang lalu, isu pembangunan tidak berkualiti turut dimasukkan.

Menurutnya, KPKT telah menstruktur semula organisasi dalaman dengan meletakkan seorang Timbalan Ketua Setiausaha yang bertanggungjawab memantau pembangunan projek dan akan memberi laporan penuh kepada Menteri dan Ketua Setiausaha dalam tempoh dua minggu sekali bagi setiap pembangunan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai sasaran KPKT bagi membina 100,000 unit rumah mampu milik setiap tahun, Zuraida berkata, akan terdapat kelewatan bagi sasaran pada tahun ini susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa pemaju menghentikan pembangunan selama tiga bulan.

Beliau menjangkakan kelewatan antara enam bulan sehingga setahun.

"Bagaimanapun, kini hampir 85 peratus pemaju sudah kembali aktif selepas kelonggaran PKP," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!