'Cukuplah dengan janji kosong PH dan Warisan'
SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) diminta tidak lagi menaburkan janji-janji kosong kepada rakyat Sabah.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat di negeri berkenaan memerlukan perubahan untuk melangkah ke hadapan.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan mengambil contoh keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis sebagai mesej jelas menunjukkan sokongan rakyat di negeri sudah beralih arah.
Malah, katanya, beliau menjangkakan rakyat Sabah akan memberi mesej lebih jelas menolak PH dan Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.
"Rakyat Sabah menghantar mesej yang sangat kuat di (PRK) Kimanis. Mereka akan menghantar mesej yang lebih kuat dalam pilihan raya negeri ini.
"Cukup dengan janji kosong PH dan Warisan. 'Sabahan' ingin melangkah ke depan," ciapnya di Twitter sebagai respons balas kepada ciapan pemimpin DAP, Datuk Ngeh Koo Ham.
Koo Ham dalam ciapannya mengesa rakyat Sabah menghantar mesej dengan tegas dan jelas ketika mereka mengundi pada 26 September depan.
Januari lalu, BN mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis menerusi kemenangan calonnya, Datuk Mohamad Alamin, 47, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 2,029 undi.
Mohamad diisytihar pemenang dengan memperoleh 12,706 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!