Akhirnya imam mengaku simpan pistol, peluru
NILAI - Seorang pesara polis yang ditahan kerana memukul isterinya akhirnya mengaku mengaku memiliki sepucuk pistol dan melepaskan tembakan semasa bertengkar dengan isterinya pada 24 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superinten Mohd Nor Marzukee Besar berkata, suspek, Sulaiman Abdul Rahman, 61, menukar pengakuan setelah disoal siasat oleh anggota dan pegawai daripda Jabatan Siasatan Jenayah D6A Bukit Aman pada Sabtu lalu.
Katanya, hasil soal siasat dilakukan terhadap suspek yang juga imam di Kampung Bukit Kadir itu mengaku menyimpan pistol jenis revolver.
"Dia juga mengaku melepaskan tembakan semasa kejadian.
"Pada mulanya suspek mendakwa telah membuang pistol dan peluru yang disimpan dalam kotak aluminium warna hitam ke dalam sungai di belakang Masjid Kampung Bukit Kadir.
"Setelah itu kita telah membuat serbuan di rumah suspek dan telah membuat rampasan satu sarung pistol PDRM, dan 90 butir peluru shortgun disorok di dalam stor kayu hadapan rumahnya," katanya.
Mohd Nor Marzukee berkata, semasa polis memulakan perjalanan ke lokasi sungai Kg Bukit Kadir, suspek tiba-tiba telah menukar pengakuan dan menafikan membuang senjata pistol ke dalam sungai
"Sebaliknya mengaku bahawa kesemua peluru tersebut disorok dalam sampul surat atas almari kanopi belakang rumah dan revolver telah ditanam dekat sebuah kawasan di Pulau Indah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Tambahnya, anggota penyiasat kemudiannya menuju ke Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah Selangor dengan di pandu arah oleh suspek.
Katanya, hasil siasatan yang dilakukan bersama K9 Unit Pengesan Anjing menunjukkan indikasi positif di lokasi tebing terusan.
"Hasil daripada itu kita menjumpai tujuh butir peluru Winchester 38 Special, satu butir peluru 38 SPL, satu butir peluru SME, satu pucuk pistol Revolver, satu kabinet besi berlaci bertulis UKK Dangi, dan dua tong besi bekas peluru," katanya.
Suspek kini masih ditahan reman dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Pada Khamis lalu, pesara polis itu berang dengan tindakan isterinya memajak pokok rambutan kepada orang kampung, lalu menumbuk isterinya di bahagian muka,menarik rambut dan menendang isterinya dengan mengunakan anggota badan, serta melepaskan tembakan ke arah udara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!