Mayat wartawan ditemui dikerat di Mexico
COATZACOALOS - Mayat seorang wartawan ditemui dikerat-kerat di kawasan yang diselubungi dengan keganasan di timur Mexico semalam, kata polis.
Penemuan itu adalah satu lagi kejadian pembunuhan di salah sebuah negara paling berbahaya di dunia untuk mereka yang mempunyai kerjaya itu.
Julio Valdivia yang bertugas dengan akhbar El Mundo de Veracruz ialah wartawan kelima dibunuh di negara tersebut pada tahun ini, kata kumpulan pemantau media, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).
Hugo Gutierrez iaitu menteri keselamatan merangkap ketua polis di Veracruz, negeri di timur Mexico mengutuk pembunuhan pengecut terhadap Valdivia yang berusia 41 tahun itu.
"Kami akan menggunakan semua sumber untuk mencari pihak yang bertanggungjawab (melakukan pembunuhan itu)," katanya menerusi satu kenyataan.
Mayat Valdiva itu ditemui bersama dengan motosikalnya di sebuah landasan kereta api di kawasan pergunungan perbandaran Tezonapa, kata akhbar tempat dia bertugas semasa hidup.
Ia melaporkan, dia pernah membuat liputan tentang konfrontasi antara polis dengan beberapa orang yang disyaki sebagai penjenayah. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!