RM186 juta 'harga' untuk kemelut demokrasi
ARTIKEL ini ditulis bukanlah untuk tidak bersetuju dengan pesta demokrasi di Sabah yang bakal membuka gelanggang esok.
Artikel ini juga bukan ditulis untuk memihak kepada mana-mana parti politik baik Perikatan Nasional (PN), Warisan mahupun Pakatan Harapan (PH).
Tetapi artikel ini ditulis untuk kita melihat apakah natijah yang berlaku angkara kekalutan politik hari ini akibat permainan dan percaturan segelintir ahli politik.
Bukan satu rahsia lagi, PRN Sabah bakal menelan belanja yang bukan sedikit. Jika pada pilihan raya kecil melibatkan sebuah kawasan Parlimen, kosnya menelan belanja hingga RM3 juta.
Bayangkan untuk pilihan raya negeri Sabah jumlah duit kerajaan atau sering juga disebut duit pembayar cukai yang bakal digunakan mencecah RM186 juta.
Cuba bayangkan apa yang boleh kita lakukan dengan RM186 juta itu. Apatah lagi di Negeri Di Bawah Bayu yang masih dibelenggu dengan pelbagai isu infrastruktur dan kemudahan asas, RM186 juta itu sebenarnya satu nilai yang sangat besar.
Penulis sendiri sempat menghubungi seorang rakan yang sedang berkampung di Sabah selama dua bulan untuk membuat persediaan liputan PRN negeri itu.
Walaupun menjadi rutinnya mengejar para pemimpin Sabah untuk menghasilkan berita, tetapi kisah-kisah masyarakat yang masih ketiadaan elektrik, tiada bekalan air bersih dan masih menggunakan jalan tanah merah amat menyentuh hatinya.
Beliau menceritakan bagaimana saat berkunjung ke Tenom yang jaraknya sekitar 150 kilometer dari Kota Kinabalu, penduduk di sebuah kampung masih bergantung kepada generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.
Bagaimanapun, jauh lebih menyentuh hati bagi keluarga yang tidak berkemampuan menggunakan generator, pilihan terakhir mereka adalah menggunakan pelita minyak tanah.
“Melihat anak-anak kecil di Kampung Rundum, Tenom mengulangkaji pelajaran dengan bercahayakan pelita sangat menyedihkan. Kita sendiri tidak pernah melaluinya walaupun dah hidup hampir 40 tahun,” katanya.
Peruntukan
Cuba bayangkan dengan RM186 juta itu bagaimana ia dapat membantu anak-anak kecil kampung itu dalam mendapatkan kemudahan elektrik di kampung mereka.
Ironinya, RM186 juta itu hampir separuh daripada peruntukan Belanjawan 2020 kerajaan Persekutuan yang menyediakan RM470 juta untuk Projek Bekalan Air di Sabah dan Sarawak.
RM186 juta itu juga hampir menyamai peruntukkan pakej bantuan Covid-19 di Sabah RM200 juta iaitu bagi pelaksanaan 1,000 projek infrastruktur asas di kampung di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan daerah lain.
Bagaimanapun, persoalan paling penting kini adalah selepas PRN Sabah ini, siapa mampu memberi jaminan politik dan pentadbiran Sabah akan kembali aman?
Siapa yang mampu memberi jaminan tidak akan ada Ahli Undangan Dewan Negeri (ADUN) tidak berhijrah menyertai parti lain?
Dengan persaingan yang dilihat sengit antara parti gabungan PN dengan Warisan Plus, tidak mustahil jika PRN Sabah akan menyaksikan pemenangnya nanti mungkin hanya dibezakan dengan beberapa kerusi sahaja.
Dan jika ada tawar-menawar, tidak mustahil berlaku lompat-melompat dalam kalangan ADUN lagi. Lantas, adakah rakyat Sabah perlu melalui pilihan raya lagi?
Hakikatnya, ketegangan politik Malaysia bukan hanya berlaku di Sabah. Melihat situasi semasa, kerajaan negeri Johor pada bila-bila masa sahaja boleh tumbang dan mungkin menerima nasib sama seperti di Sabah.
Yang pasti, percaturan politik katak itu perlu ada titik noktahnya. Sudah tiba masanya, kerajaan Persekutuan berani mengambil tindakan untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti.
Ini kerana perbuatan lompat parti telah terbukti memberi kerugian kepada banyak parti.
Hampir semua parti baik UMNO, DAP, PKR, Pas atau Warisan parti pernah melaluinya.
Walaupun ramai yang melihat lompat-melompat parti sepatutnya menjadi hak seseorang pemimpin, tetapi kita tidak boleh berkompromi dengan kestabilan dan keamanan negara.
Apa erti hak kalau negara mengalami pembaziran berbilion ringgit untuk kepuasan dan kepentingan segelintir ahli politik.
* Zamri Rambli ialah Editor Premium Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!