Penduduk tidak keluar menoreh, takut harimau kumbang
PASIR MAS - Penoreh getah di sekitar Tok Uban diselubungi ketakutan selepas menemui kesan tapak kaki dipercayai milik harimau kumbang yang didakwa menyebabkan kematian 14 ekor kambing di Kampung Mesa di sini pada Isnin lalu.
Dakwaan penoreh itu berasas apabila kesan tapak kaki itu dilihat berdekatan kawasan kebun getah berhampiran dengan rumah Salma Mat Duad, 60, pemilik kambing-kambing tersebut.
Tidak cukup dengan itu, ada dalam kalangan penoreh mendakwa mereka terdengar bunyi ngauman seakan-akan harimau pada waktu malam beberapa hari lalu sebelum kejadian menimpa Salma.
Lebih mengejutkan apabila kesan gigitan hanya dapat dilihat pada bahagian leher dan punggung kambing sahaja sekali gus menimbulkan rasa bingung dalam kalangan penduduk.
Bukan itu sahaja, dua ekor ayam milik Salma turut menjadi habuan harimau itu.
ARTIKEL BERKAITAN: 14 ekor kambing mati mengejut cetus misteri
Seorang penoreh, Abdullah Musa, 30, berkata, sejak melihat kesan tapak kaki seakan-akan harimau kumbang itu dia sudah tidak berani untuk keluar menoreh seperti biasa.
"Biasanya saya akan keluar menoreh seawal jam 2 pagi, namun sejak itu saya keluar menoreh bermula jam 6 pagi.
"Kesan (tapak kaki) yang saya lihat itu dianggarkan bersaiz telapak tangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun," katanya kepada media di sini hari ini.
Menurutnya, dia kini lebih berhati-hati ketika melakukan kerja-kerja menoreh getah, malah jika ada terdengar bunyi-bunyi pelik dia akan terus berpaling untuk memeriksa kawasan sekitar.
"Biasa saya akan menoreh secara berseorangan, namun kali ini terpaksa membawa rakan sebagai peneman.
"Bukan itu sahaja, luas kawasan torehan terpaksa dikecilkan kepada 1.6 hektar berbanding 3.6 hektar sebelum ini," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penoreh Idris Yaakub, 53, mendakwa pendapatannya dan penoreh lain terjejas sejak kehadiran haiwan misteri itu.
Katanya, mereka tidak berani untuk keluar menoreh memikirkan keselamatan diri kerana selain penemuan tapak kaki serta bunyi ngauman, menguatkan lagi dakwaan tersebut apabila tiada lagi babi yang dilihat berkeliaran di kawasan kebun getah mereka.
"Mengikut kata orang-orang tua, babi tidak akan kelihatan jika harimau kumbang ada dan disebabkan itu kami mula berhati-hati selain berasa takut memikirkannya bebas berkeliaran di kawasan kebun getah penduduk.
"Kami berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ini demi keselamatan penduduk," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Salma mendakwa pernah melihat kelibat seekor binatang dipercayai harimau kumbang berwarna hitam dan dianggarkan setinggi satu meter di kebun hadapan rumahnya.
"Selepas melihat binatang tersebut, keesokan harinya dua ekor ayam dan seekor kambing mati dibaham. 14 ekor lagi kambing mati digigit di bahagian leher dan punggung," katanya.
Sementara itu, Sinar Harian berusaha untuk mendapatkan reaksi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berhubung dakwaan penduduk, namun mengecewakan apabila panggilan tidak dijawab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!