PCS lancar manifesto di laman sosial parti

Anifah Aman. Foto: Bernama
Anifah Aman. Foto: Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Cinta Sabah (PCS) akan mewujudkan satu kementerian baharu yang mengkhususkan kepada minyak dan gas bagi meningkatkan sumber ekonomi Sabah jika rakyat memberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presiden PCS Datuk Seri Anifah Aman berkata, kementerian itu antara manifesto parti yang telah dirangka dengan meletakkan kepentingan Sabah sebagai perkara paling utama.

“Rakyat Sabah harus mengetahui apakah manifesto PCS bagi membantu mereka membuat keputusan terbaik. PCS akan melancarkan manifesto pada masa terdekat melalui Facebook rasmi PCS. Rakyat akan dapat mengikuti secara langsung nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anifah yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada PRN berkata, beberapa teras manifesto lain turut disenaraikan.

“Antara teras manifesto yang akan kita umumkan kepada rakyat termasuk menjamin kedaulatan Sabah; Perjanjian Malaysia 1963 serta pendidikan dan kemahiran.

“Selain itu, kita turut menitikberatkan aspek pembangunan infrastruktur; kebajikan wanita dan memberi perhatian kepada golongan belia,” katanya.

Semalam, Anifah mengumumkan PCS akan bertanding di semua 73 kerusi DUN Sabah pada PRN akan datang namun hanya satu kerusi sahaja tidak akan ditandingi membabitkan kerusi DUN Apas.

Katanya, bagi membentuk sebuah kerajaan, pihaknya sentiasa memastikan calon yang dipilih terdiri daripada golongan yang cerdik, berani dan berkebolehan.

Artikel Berkaitan:

“Mereka telah dipilih dengan teliti berdasarkan kebolehupayaan masing-masing untuk memenangi PRN kali ini.

“Calon-calon kita ialah gandingan antara golongan yang berpengalaman dan muda tetapi berbakat selain boleh dilatih untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!